KOTA KINABALU: Sebuah hospital yang berfungsi sebagai Pusat Rawatan Trauma dan Rehabilitasi dicadang dibina bagi mengatasi kekurangan petugas perkhidmatan pra hospital dan ambulans di negeri ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata kemudahan itu juga perlu untuk dijadikan sebagai pusat latihan perkhidmatan pra hospital dalam usaha meningkatkan petugas terlatih di negeri ini.
“Tindakan perlu diambil untuk mengatasi kekurangan terutama sumber manusia dan kelengkapan ambulans di seluruh Sabah, sama ada di bandar atau kawasan pedalaman.
“Ini bagi memastikan perkhidmatan pra hospital atau ambulans di negeri ini dapat memberi rawatan berkualiti yang bernilai tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis penutupan Kursus First Responder Life Support (CPR) and Fitness 2026 di Menara Kinabalu, di sini, pada Rabu.
Hajiji berkata, data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan penyakit jantung iskemik kekal sebagai punca utama kematian di negara ini, termasuk di Sabah, diikuti penyakit serebrovaskular atau strok dan kemalangan jalan raya.
Statistik Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) pula katanya, turut menunjukkan aliran peningkatan panggilan kecemasan melalui talian 999 di negeri ini kepada 15,434 panggilan pada 2025, berbanding 14,256 panggilan pada 2024, manakala 10,154 panggilan setakat September tahun ini.

Data itu katanya memberi gambaran mengenai pentingnya perkhidmatan pra hospital dan ambulans di negeri ini ditingkatkan dalam usaha menyelamatkan nyawa pesakit.
“Apabila menyebut rawatan kecemasan, pengoperasian perkhidmatan pra hospital atau ambulans memainkan peranan penting sebagai sebahagian rangkaian penjagaan kesihatan secara berterusan kepada masyarakat dengan masa tindak balas yang singkat dan pantas,” katanya.
Mengenai kursus berkenaan, Hajiji berkata peranan ahli pertolongan cemas amat penting dalam masyarakat sebagai langkah awal sementara menunggu ketibaan ambulans dan pasukan perkhidmatan pra hospital.
“Tindakan awal yang pantas, tepat dan berkesan bukan saja dapat mengurangkan risiko komplikasi, malah berupaya menyelamatkan nyawa mangsa.
“Sehubungan itu, usaha melatih lebih ramai ahli pertolongan cemas dengan menyediakan pasukan yang berkemahiran dan siap sedia menghadapi sebarang kemungkinan dan kecemasan sangat penting dalam suasana kecemasan bagi mengurangkan kadar kematian,” katanya.
Kursus berkenaan disertai pengiring peribadi Menteri, Pembantu Menteri, Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan pegawai-pegawai di Jabatan Ketua Menteri Sabah.
Hajiji berkata, usaha itu adalah satu inisiatif yang baik dan wajar diteruskan membabitkan semua pengiring peribadi wakil rakyat sejajar tugas mereka yang banyak turun di lapangan dalam memberi perkhidmatan kepada rakyat.
“Saya berharap kursus ini bukan saja menjadi sumber inspirasi kepada pengiring peribadi yang belum mengikuti kursus, malah menjadi contoh teladan kepada Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh negara,” katanya.
Dalam pada itu, Hajiji juga mahu setiap ADUN menggunakan sebahagian peruntukan mereka untuk melatih dan menyediakan pasukan berkemahiran serta siap sedia menghadapi sebarang kemungkinan dan kecemasan di kawasan masing-masing.
Katanya, lebih ramai ahli pertolongan cemas dalam kalangan orang awam perlu dilatih untuk mencapai sasaran, seorang ahli pertolongan cemas bagi setiap keluarga. – Info X