Lelaki didakwa eksploitasi tiga pemuda untuk kerja paksa di Kemboja

November 25, 2026

Info X Reporters

TAWAU: Seorang lelaki mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan memperdagangkan tiga pemuda dari daerah ini ke Kemboja bagi eksploitasi kerja paksa, dua tahun lalu.

Lim Thong Sheng, 24, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Ahmad Faizadh Yahaya, selepas ketiga-tiga pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Lim bersama seorang lagi yang belum dituduh didakwa memperdagang tiga pemuda berusia antara 22 hingga 23 tahun dari Tawau ke Kemboja bagi maksud eksploitasi kerja paksa.

Perbuatan itu didakwa dilakukan dengan niat bersama antara 21 Ogos hingga 15 September 2024.

Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun selain boleh didenda.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin tempatan dan memerintahkan pasportnya diserahkan kepada mahkamah, manakala sebutan semula kes ditetapkan pada 21 Januari 2027.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Haikal Hazwan Md Yatin, manakala tertuduh diwakili peguam Mohamad Syazwan Shah Mohamad Ali.-Info X