Jeffrey gesa PKR tidak bertanding di Sabah

November 25, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: PKR digesa untuk mengambil pendirian tidak bertanding pada Pilihan Raya Umum (PRU) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan datang di Sabah.

Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan membuat gesaan itu selepas PKR mengumumkan untuk tidak bertanding pada PRN Ke-13 Sarawak yang dijadual bulan depan.

“Saya mengalu-alukan pengumuman PKR yang ia tidak akan bertanding pada PRN Sarawak. Saya menggesa PKR untuk mengambil pendirian yang sama dengan tidak bertanding di Sabah juga pada PRU dan PRN akan datang.

“Keputusan seumpama itu sebenarnya menghormati autonomi politik Sabah dan Sarawak dan mengukuhkan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Ahli Parlimen Keningau itu, berkata pendekatan itu akan memberi ruang lebih besar kepada parti tempatan Sabah untuk bertanding pada PRU dan PRN dan mengemukakan perancangan mereka secara terus kepada pengundi.

Katanya, ia juga membolehkan parti di Sabah dan Persekutuan terus bekerjasama dalam keutamaan bersama, sambil menghormati mandat yang diberikan rakyat negeri ini.

“Persoalan lebih luas mengenai perwakilan Parlimen juga memerlukan perhatian. Sabah dan Sarawak ketika ini memegang kira-kira suku daripada kerusi di Dewan Rakyat, berkurang berbanding 35 peratus yang diberikan pada 1963 ketika pembentukan Malaysia,” katanya.

Jeffrey berkata, beliau menyokong pengembalian 35 peratus kerusi Dewan Rakyat supaya kedua-dua negeri dijamin bahawa hak, kepentingan dan keistimewaan mereka dilindungi mengikut perlembagaan dan mempunyai suara kuat dalam keputusan Persekutuan yang memberi kesan ke atas hak dan kepentingan mereka.

“Sarawak membuktikan bahawa negeri mereka boleh melindungi autonomi politik sambil mengekalkan hubungan kukuh dan membina dengan kerajaan Persekutuan,” katanya.

Sehubungan itu, katanya beliau mengalu-alukan keputusan Barisan Nasional (BN) dan PKR untuk tidak bertanding pada PRN Sarawak atas semangat berkenaan.

“Saya percaya pendekatan yang sama oleh PKR di Sabah akan menyumbang kepada kestabilan politik dan mengukuhkan hubungan Negeri-Persekutuan,” katanya.

Sebelum ini, BN mengumumkan tidak akan meletak calon pada PRN Sarawak, sebelum disusuli pengumuman PKR yang mengambil tindakan yang sama, manakala yang terbaharu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) turut mengumumkan tidak menyertai pilihan raya itu.-Info X