Lelaki Indonesia dipenjara seumur hidup selepas mengaku mengedar 523 gram syabu

November 25, 2026

Info X Reporters

TAWAU: Seorang lelaki warga Indonesia dipenjara seumur hidup selepas mengaku bersalah di Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini, atas pertuduhan mengedar 523.3 gram dadah jenis syabu, tahun lalu.

Hukuman itu dijatuhkan Pesuruhjaya Kehakiman, Steve Ritikos selepas tertuduh, Jhon Daton Petrus, 56, menukar pengakuan kepada bersalah atas pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dirujuk ke Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) selepas selesai menjalani hukuman penjara, tapi tidak dikenakan hukuman sebatan atas faktor usia.

Hari ini, pihak pendakwaan dijadual memanggil saksi kelima yang juga saksi terakhir dalam perbicaraan kes tertuduh yang bermula Isnin lalu, namun lelaki berkenaan menukar pengakuannya kepada bersalah.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 523.3 gram di kawasan sebuah kebun kelapa sawit, Onika Quarry, Jalan Air Panas Tiku, jam 2.30 petang, 26 Februari 2025.

Berikutan itu, tertuduh berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dihukum mati hendaklah dikenakan tidak kurang 12 kali sebatan.

Mengikut fakta kes, tertuduh ditahan sepasukan polis sebelum pemeriksaan menemukan dua paket plastik mengandungi bahan hablur disyaki dadah dalam sebuah beg plastik tertera tulisan ‘MARVEL’ yang kemudian dirampas.

Analisis Jabatan Kimia mengesahkan bahan berkenaan ialah Methamphetamine atau syabu seberat 523.3 gram.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Fillanny Siji, manakala tertuduh diwakili peguam Jhasarry P Kang.-Info X