KOTA KINABALU: Industri pelancongan Sabah menjana nilai ditambah sebanyak RM14.4 bilion dengan kadar pertumbuhan 5.6 peratus pada 2025.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Jafry Arifin, berkata hasil itu membolehkan sektor pelancongan menyumbang 12.3 peratus kepada ekonomi negeri pada 2025, berbanding 11.9 peratus pada tahun sebelumnya.
“Pencapaian ini membuktikan sektor pelancongan kekal sebagai antara pemacu utama pertumbuhan ekonomi dan penjanaan peluang pekerjaan di Sabah,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Beliau berkata, penerbitan Akaun Satelit Pelancongan Wilayah Sabah 2025 atas inisiatif Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (KePKAS) melalui kerjasama strategik dengan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menyediakan data sektor pelancongan negeri yang lebih komprehensif dan berwibawa.
Katanya, ia adalah langkah penting kementerian dalam memperkukuh perancangan dan penggubalan dasar berasaskan data, selain membolehkan ukuran lebih tepat berhubung impak sebenar industri pelancongan terhadap ekonomi negeri dan kehidupan rakyat.
“Kejayaan sektor pelancongan tidak seharusnya diukur berdasarkan jumlah kedatangan pelancong semata-mata, tetapi juga sejauh mana industri ini menjana pendapatan, mewujudkan peluang pekerjaan dan meningkatkan kesejahteraan rakyat Sabah,” katanya.
Berdasarkan laporan DOSM, perdagangan runcit dikenal pasti penyumbang terbesar kepada Nilai Ditambah Kasar Industri Pelancongan (NDKIP) dengan 45.6 peratus, diikuti perkhidmatan penginapan serta penyediaan makanan dan minuman sebanyak 30 peratus.
Penggunaan pelancongan dalaman turut meningkat 14.2 peratus kepada RM13.4 bilion pada tahun lalu, berbanding RM11.7 bilion pada 2024.
Perbelanjaan pelancongan inbound pula meningkat 20.8 peratus kepada RM7.5 bilion, manakala perbelanjaan pelancongan domestik mencatat pertumbuhan 6.8 peratus kepada RM5.9 bilion.
Jafry berkata, lebih signifikan, industri berkaitan pelancongan menyediakan pekerjaan kepada 415,100 orang pada 2025, meningkat 7.1 peratus berbanding 387,600 orang pada tahun sebelumnya.
“Hampir satu daripada setiap empat individu yang bekerja di Sabah terlibat dalam industri berkaitan pelancongan. Ini jelas menunjukkan bahawa pelancongan bukan sekadar industri, tetapi menjadi sumber ekonomi dan mata pencarian ratusan ribu rakyat Sabah.
“Data ini juga memberikan keyakinan kepada kerajaan negeri dan pemain industri untuk terus memperkukuh pelaburan, pembangunan produk pelancongan serta penyertaan komuniti tempatan,” katanya.
Jafry turut merakamkan penghargaan kepada DOSM atas kerjasama dalam menjayakan inisiatif kementerian itu.
Katanya, dapatan itu akan menjadi rujukan penting kepada KePKAS dalam merangka strategi pembangunan sektor pelancongan, khususnya menjelang Tahun Melawat Sabah 2027.
“Komitmen kita adalah untuk memastikan pertumbuhan industri pelancongan Sabah terus mampan, berdaya saing dan inklusif.
“Apabila pelancongan Sabah berkembang, ekonomi negeri mesti bertambah kukuh dan rakyat Sabah mesti turut menikmati manfaatnya,” katanya. – Info X