KOTA KINABALU: Pasukan petugas Sabah Electricity sudah mengalihkan kabel elektrik yang menghalang laluan utama Ranau-Sandakan dan menjejaskan bekalan elektrik di kawasan pantai timur sejak awal pagi tadi.
Menerusi hantaran di Facebook Sabah Electricity Careline, syarikat utiliti itu berkata pengalihan kabel dilakukan sejurus ketibaan jentera yang digunakan dalam kerja kecemasan itu.
“Jentera telah digerakkan ke lokasi kejadian dan talian elektrik yang menghalang laluan utama Ranau-Sandakan telah berjaya dialihkan.
“Kerja-kerja pemulihan bekalan sedang dijalankan. Keutamaan kini adalah untuk kerja-kerja pemulihan di lokasi kejadian tanpa mengabaikan aspek keselamatan orang awam.
“Segala sumber dan tenaga kerja terus digerakkan bagi mempercepatkan pemulihan bekalan elektrik kepada pengguna yang terjejas di Pantai Timur Sabah.
“Kami memahami kesukaran yang dihadapi oleh orang ramai ketika ini. Sabah Electricity memohon maaf atas segala kesulitan yang dialami dan komited untuk memulihkan bekalan elektrik secepat mungkin,” katanya.
Syarikat utiliti itu akan memaklumkan perkembangan terkini dari semasa ke semasa menerusi saluran rasmi Sabah Electricity.
Terdahulu, Sabah Electricity menyatakan sudah mengenal pasti punca gangguan bekalan elektrik yang menjejaskan kawasan Pantai Timur Sabah, sejak awal pagi tadi.
Menerusi satu kenyataan ringkas, syarikat utiliti itu berkata gangguan berkenaan berikutan insiden yang dikesan dalam sistem penghantaran elektrik pada jam 6.04 pagi tadi.
Lapan daerah dilaporkan terjejas iaitu Sandakan, Tawau, Lahad Datu, Kinabatangan, Beluran, Kunak, Semporna dan Telupid.
Kejadian itu dikaitkan dengan menara penghantaran elektrik yang tumbang di Ranau seperti video tular di media sosial sejak awal pagi tadi.-Info X