RM254 juta untuk inisiatif bantuan pendidikan di Sabah

November 26, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri membelanjakan RM254 juta bagi melaksanakan pelbagai inisiatif bantuan pendidikan yang memberi manfaat kepada 141,635 pelajar institut pendidikan tinggi (IPT) dan 277,124 pelajar sekolah sepanjang lima tahun lalu.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata peruntukan itu turut memberi manfaat kepada 1,537 sekolah termasuk sekolah agama dan 67 persatuan pelajar IPT Sabah, selain membolehkan 476 program pendidikan dilaksanakan.

Katanya, setakat ini sebanyak 14 inisiatif bantuan pendidikan dilaksanakan kerajaan negeri, termasuk Bantuan Yuran Peperiksaan MUET (BAYU) bagi pelajar B40 yang memberi manfaat kepada sekolah, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), pelajar IPT serta persatuan pelajar Sabah di dalam dan luar negara.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 13 inisiatif di bawah Kementerian Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah dilaksanakan tahun ini dengan peruntukan RM87.5 juta, ia akan diteruskan lagi pada tahun depan.

“Antara inisiatif berkenaan ialah Bantuan Tunai Pendaftaran IPT Secara One Off (BUDI), Bantuan Ihsan Komputer (BAIK), Bantuan Khas Tunai Peperiksaan (BAKTI), Bantuan Ihsan Tabungan Pendidikan Negeri (BISTARI), Bantuan Aktiviti PIBG (BAGUS), Bantuan Ihsan Sekolah Sabah (BISBAH) dan Bantuan Penyelenggaraan Kecil Sekolah (BALKIS).

“Inisiatif lain termasuk Bantuan Khas Program Pendidikan (BANTU), Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Sabah (AKSA), Sekretariat Mahasiswa Sabah Malaysia (SEMESTA), Bantuan Graduan Rindu Sabah atau Subsidi Tiket Penerbangan Pelajar Sabah (GRS-SUBFLY), Sumbangan Mahasiswa Pendidikan Tinggi Dalam Sabah (SENTOSA) dan Sumbangan Kegiatan Sekolah Secara One Off (SUKSES),” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Inisiatif Pendidikan Sabah 2026 di Menara Kinabalu, di sini, pada Khamis.

Selain itu, katanya bantuan pendidikan turut disalurkan melalui beberapa agensi kerajaan negeri, badan berkanun dan organisasi bantuan yang boleh diakses menerusi Portal Tajaan Pendidikan Sabah (PTPS).

Antaranya, beliau berkata Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS), yang menyediakan biasiswa dan tajaan pengajian tinggi dengan peruntukan meningkat hampir tiga kali ganda kepada RM161 juta setakat 31 Oktober 2026, berbanding RM55 juta pada 2021.

Katanya, bantuan pendidikan kepada pelajar di negeri ini turut disediakan menerusi Yayasan Sabah dan Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS).

Hajiji berkata, kerajaan negeri akan terus memperkukuh dan menambah baik pelbagai inisiatif bantuan pendidikan supaya penyampaiannya lebih berkesan, telus serta sampai kepada kumpulan sasar.

Sementara itu, Hajiji berkata peruntukan besar kerajaan negeri dalam program pembangunan pendidikan dan modal insan pada tahun ini membuktikan kemampuan serta komitmen tinggi kerajaan semasa dalam membela nasib rakyat Sabah.

Beliau berkata, komitmen itu turut menjadi bukti keprihatinan kerajaan dalam memastikan ekosistem pendidikan di negeri ini sentiasa kondusif, inklusif dan berdaya saing.

“Kerajaan negeri meletakkan pembangunan modal insan sebagai antara teras utama dalam pelan pembangunan Hala Tuju SMJ. Ini kerana pendidikan adalah asas penting dalam membina masa depan sesebuah negeri dan negara.

“Pendidikan juga adalah kunci utama yang mampu mengubah nasib sesebuah keluarga, membasmi kemiskinan dan seterusnya memacu kemajuan negeri ke tahap yang lebih tinggi,” katanya.

Hajiji berkata, prinsip kerajaan negeri amat jelas, iaitu mengutamakan agenda ‘Sabah First’ dan menjamin akses pendidikan untuk semua, tanpa membiarkan anak-anak Sabah tercicir daripada mendapat pendidikan berkualiti.

Katanya, fokus utama kerajaan negeri adalah memastikan akses pendidikan yang adil dan saksama kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang keluarga, kedudukan ekonomi atau tempat tinggal.-Info X