KOTA KINABALU: Kehilangan insan tersayang ketika sedang bergelut menyiapkan pengajian tidak mematahkan semangat pasangan kembar untuk merealisasikan impian arwah bapa mereka melihat kedua-duanya bergelar doktor falsafah (PhD).
Lebih membanggakan, Dr Karmilah Liashin dan Dr Kamariah Liashin, 39, berjaya menamatkan pengajian dalam tempoh dua tahun empat bulan, lebih awal daripada tempoh asal yang ditetapkan.
Pasangan kembar berasal dari Kota Belud itu menerima ijazah masing-masing pada sidang pertama Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Sabah (UMS) Kali Ke-28, hari ini.
Anak keenam dan ketujuh daripada lapan beradik itu memulakan pengajian sepenuh masa dalam bidang Pengurusan Pendidikan pada Ogos 2023 menerusi tajaan Hadiah Latihan Persekutuan (HLP) Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Kedua-duanya mengikuti pengajian di bawah seliaan Profesor Madya Dr Dg Norizah Ag Kiflee @ Dzulkifli.
Kamariah berkata, keputusan menyambung pengajian bersama dibuat atas keyakinan bahawa mereka mampu mengharungi pelbagai cabaran dengan saling memberikan sokongan.
“Ramai orang di luar sana menggambarkan perjalanan PhD itu sunyi, namun kami tidak merasainya kerana kami saling menyokong antara satu sama lain,” katanya.
Bagaimanapun, perjalanan pasangan kembar itu diuji apabila bapa mereka meninggal dunia akibat kanser otak pada April 2025 ketika kedua-duanya berada di semester kelima pengajian.
Pemergian bapa yang menyimpan hasrat melihat mereka bergelar doktor falsafah menjadi antara ujian terbesar sepanjang pengajian.
Namun, sokongan ahli keluarga, rakan sekerja di SMK Tansau dan SMK Taun Gusi II serta kekuatan yang dikongsi bersama membolehkan mereka meneruskan pengajian sehingga berjaya.
Karmilah yang pernah bertugas di SMK Taun Gusi II kini berkhidmat sebagai pensyarah di Institut Aminuddin Baki Cawangan Sabah, manakala Kamariah bertugas sebagai Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Kota Belud.
Kedua-duanya berhasrat membalas jasa KPM dengan memanfaatkan ilmu diperoleh bagi memperkasakan sistem pendidikan di Sabah, khususnya dalam meningkatkan kompetensi dan kemenjadian murid.
Sementara itu, Karmilah berkata, tanggungjawab sebagai isteri dan ibu bukan penghalang bagi seseorang wanita untuk mengejar impian dalam pendidikan.
Beliau turut menyeru golongan suami supaya sentiasa menyokong cita-cita pasangan masing-masing kerana pendidikan mampu merealisasikan impian yang dahulunya dianggap mustahil. – Info X