BEAUFORT: Dua lelaki ditahan polis selepas disyaki terbabit dalam kegiatan mencuri 1,050 liter minyak diesel di tapak pembinaan Jalan Pan Borneo, Kampung Lumadan, di sini.
Kedua-dua suspek warga tempatan itu ditahan di lokasi berasingan menerusi operasi sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort.
Ketua Polis Daerah Beaufort, Superintenden Champin Piuh berkata, kes berkenaan dikesan susulan laporan polis yang diterima pada 25 November lalu selepas pihak syarikat mendapati minyak diesel daripada tiga jentera pengorek di tapak pembinaan berkenaan dicuri.
Katanya, kecurian itu membabitkan anggaran 1,050 liter minyak diesel dengan nilai kerugian keseluruhan RM5,071.50.
Hasil siasatan dan tindakan susulan, polis berjaya mengesan sebelum menahan kedua-dua suspek di lokasi berasingan.
Dalam operasi berkenaan, polis turut merampas sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Isuzu D-Max, tong berisi minyak diesel, tiga tong gelen kosong serta beberapa barangan lain yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes itu.
Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.
Siasatan lanjut diteruskan bagi mengenal pasti kemungkinan pembabitan kedua-dua suspek dalam kes jenayah lain. – Info X