MAGEBS Smart Card hubungkan warisan budaya dengan pelancongan dan keusahawanan – Abdullah Sibil

November 29, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Gabungan Muafakat Persatuan Etnik Bumiputera Negeri Sabah (MAGEBS) membawa penggunaan teknologi untuk menghubungkan warisan budaya dengan pelancongan dan keusahawanan di negeri ini.

Yang Dipertuanya, Datuk Abdullah Sibil, berkata melalui usaha itu MAGEBS memperkenalkan kad pintar MAGEBS (SABAH) Smart Card sebagai platform yang membolehkan penggunanya, khususnya pelancong menggunakannya untuk membeli barangan tempatan Sabah.

Katanya, kad berkenaan juga mengandungi maklumat mengenai pelancongan Sabah bagi memudahkan penggunanya mengetahui aktiviti atau tempat pelancongan yang boleh dilawati di negeri ini.

“Sabah kaya dengan kepelbagaian etnik, adat resam, bahasa, seni dan tradisi. Bagi MAGEBS, kepelbagaian ini bukan sekadar warisan yang perlu dipelihara, tetapi juga satu kekuatan yang boleh dimanfaatkan untuk membina masa depan yang lebih baik.

“Atas kesedaran inilah, kita melihat keperluan untuk menghubungkan warisan budaya dengan teknologi, pelancongan dan keusahawanan.

“Maka, MAGEBS (SABAH) SMART CARD adalah satu langkah ke arah meneroka peluang baharu melalui teknologi digital,” katanya pada pelancaran Explore Sabah dan MGEBS Smart Cards di SICC, di sini, pada Sabtu.

Pelancaran itu disempurnakan Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Joniston Bangkuai yang mewakili Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Abdullah berkata, menerusi inisiatif itu, MAGEBS mahu membuka lebih banyak ruang kepada usahawan tempatan, peniaga kecil, pengusaha produk budaya dan komuniti pelancongan untuk memperkenalkan produk serta perkhidmatan mereka kepada pasaran yang lebih luas.

“Kita juga mahu menggalakkan lebih ramai rakyat Sabah daripada pelbagai latar belakang untuk mengambil bahagian, di samping mengalu-alukan pelancong dari seluruh Malaysia dan luar negara agar lebih dekat dengan keunikan budaya serta produk tempatan Sabah,” katanya.

Dalam usaha itu, katanya MAGEBS bekerjasama dengan MSH Mega Tech Sdn Bhd sebagai rakan teknologi bagi membangunkan ekosistem yang menghubungkan pengguna, pelancong dan ‘merchant’ yang mengambil bahagian.

“Kami menyedari pelancaran hari ini hanyalah permulaan. Kejayaan sebenar bergantung kepada kerjasama, penyertaan dan manfaat yang dapat kita bangunkan bersama selepas ini.

“Oleh itu, saya menyeru persatuan-persatuan etnik, usahawan, merchant dan seluruh masyarakat supaya bersama-sama meneroka peluang yang ditawarkan menerusi inisiatif ini,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan MSH Mega Tech Sdn Bhd, Datuk Muhammad Shaiful Harun, berkata melalui MAGEBS (SABAH) SMART CARD dan platform sokongan yang dibangunkan, pihaknya berhasrat menyediakan satu saluran yang dapat menghubungkan pengguna, pelancong dan merchant yang mengambil bahagian.

“Bayangkan pelancong yang datang ke Sabah bukan sahaja menikmati keindahan alam semula jadi kita, tetapi juga dapat meneroka produk tempatan, makanan tradisional, kraftangan dan pengalaman budaya yang ditawarkan oleh komuniti setempat.

“Pada masa yang sama, peniaga dan usahawan tempatan berpeluang memperkenalkan perniagaan mereka kepada khalayak yang lebih luas. Inilah potensi yang ingin kita bangunkan bersama.

“Namun, kami percaya teknologi sahaja tidak mencukupi. Sesebuah ekosistem hanya akan berkembang apabila masyarakat yakin, perniagaan melihat nilainya dan pengguna mendapat pengalaman yang baik,” katanya.

Berikutan itu, katanya penglibatan merchant atau peniaga adalah komponen penting dalam inisiatif berkenaan dengan mengalu-alukan penyertaan perniagaan yang berminat untuk memahami inisiatif berkenaan dan meneroka peluang yang bersesuaian dengan keperluan masing-masing.

“Sebagai rakan teknologi, MSH komited untuk bekerjasama dengan MAGEBS dalam membangunkan dan menyokong ekosistem ini berdasarkan fungsi, keupayaan dan pengaturan yang dipersetujui bersama.

“Kami berharap kerjasama ini dapat berkembang secara berperingkat, dengan tumpuan kepada kemudahan penggunaan, keyakinan pengguna dan manfaat kepada perniagaan yang mengambil bahagian,” katanya. – Info X