Search

PERLUAS PERKHIDMATAN METER PRABAYAR KE LUAR BANDAR

February 18, 2023

admin

KOTA KINABALU: Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) dicadangkan memperluaskan penggunaan perkhidmatan Meter Prabayar di kawasan luar bandar bagi mengurangkan masalah gangguan bekalan elektrik.

Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Parti Warisan (Warisan), Mudi Dubing berkata, hampir setiap hari masalah gangguan bekalan elektrik dilaporkan berlaku menyebabkan kegiatan seharian penduduk di kawasan luar terganggu.

“Bagaimanapun, penduduk tetap terpaksa membayar bill elektrik pada setiap akhir bulan walaupun gagal memperoleh bekalan yang diharapkan.

“Kita semua tahu hasil pendapatan seharian penduduk luar bandar hanya bergantung penuh kepada sumber pertanian untuk menampung kehidupan mereka.

“Oleh itu, kita mencadangkan agar SESB dapat memperluaskan perkhidmatan Meter Prabayar ke kawasan luar bandar bagi membolehkan penduduk luar bandar dapat merancang perbelanjaan mereka,” katanya.

Mudi yang juga pemangku Ketua Bahagian Pensiangan berkata, gangguan bekalan elektrik di luar bandar juga menyebabkan kelas pembelajaran secara online selalu terganggu akibat masalah berkenaan.

“Ada dalam kalangan penduduk luar bandar turut terpaksa menanggung kadar bill yang tinggi hingga mengakibatkan mereka tidak mempunyai kemampuan untuk melunaskan pembayaran berkenaan.

“Apabila gagal membuat pembayaran sudah tentu bekalan elektrik dipotong….Akibat masalah ini pembelajaran anak mereka sering terganggu.

“Dengan adanya perkhidmatan Meter Prabyar, penduduk boleh merancang penggunaan itu berdasarkan kemampuan masing-masing,” katanya.

Dalam pada itu, Mudi memaklumkan beliau bersedia bekerjasama untuk mengadakan perbincangan secara terperinci bersama SESB bagi memastikan perkhidmatan ini dapat diperluaskan ke kawasan luar bandar.

Menurutnya, perkara penting adalah penduduk luar bandar dapat menikmati perkhidmatan bekalan elektrik yang stabil sekali gus tidak terbeban dengan keadaan bill semasa. – Info X