KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor yang menyaksikan majlis menandatangani perjanjian utama (HoA) di antara syarikat minyak dan gas milik kerajaan Sabah, SMJ Sdn Bhd (SMJSB) dengan PETRONAS Carigali Sdn Bhd (PCSB) di Kuala Lumpur, semalam.
Menerusi pemeteraian perjanjian itu, Sabah bakal mendapat 50 peratus faedah penyertaan yang berpotensi dimiliki kerajaan negeri menerusi Kontrak Perkongsian Pengeluaran (PSC) minyak dan gas di kompleks lapangan minyak dan gas Samarang.
Bertempat di Menara Berkembar PETRONAS di ibu negara, Hajiji menyatakan HoA itu dilihat sebagai satu lagi pencapaian penting bagi Sabah.
“Ini satu lagi pencapaian yang signifikan kepada Sabah dalam kerjasama di antara kerajaan negeri dengan PETRONAS.
“HoA yang ditandatangani hari ini dan potensi perolehan 50 peratus faedah penyertaan di PSC Samarang adalah pencapaian signifikan yang kedua selepas perjanjian kerjasama komersial (CCA) di antara PETRONAS dan kerajaan negeri pada 7 Disember 2021,” katanya dalam kenyataan media.
HoA itu ditandatangani Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SMJSB, Dr Dionysia Aloysius Kibat dan CEO PCSB, Hazliza Othman.
Turut hadir Presiden dan CEO Kumpulan PETRONAS, Datuk Tengku Muhammad Taufik Tengku Kamadjaja Aziz; Naib Presiden Kanan Malaysia Petroleum Management (MPM), Mohamed Firouz Asnan; Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun dan Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Seri Safar Untong.

Terdahulu, kedua-dua pihak pada Rabu lalu menandatangani surat persefahaman (LoU) bagi rundingan pengaturan pilihan semula PSC Blok SB409 yang memberikan Sabah 20 peratus faedah penyertaan sejurus selesai komitmen kerja atau penemuan komersial.
SMJSB turut menandatangani HoA dengan PETRONAS Chemicals Group Bhd (PCGB) berkaitan pemerolehan 25 peratus faedah penyertaan di loji petrokimia Sabah Ammonia Urea (SAMUR), Sipitang pada 9 Januari lalu.
PCSB ialah pengendali yang ketika ini memegang 100 peratus penyertaan di bawah PSC Samarang sejak 1995 dan menandatangani perjanjian tambahan dengan PETRONAS pada 2018 bagi menyambung operasi PSC sehingga Disember 2035.
Berikutan HoA hari ini, kedua-dua pihak akan memuktamadkan perjanjian yang mana SMJSB akan memulakan peranan bukan operasi di PSC Samarang yang terletak di perairan barat Sabah.
SMJSB akan mendapat 50 peratus hak rakan kongsi daripada pengeluaran minyak dan gas yang dianggarkan sebanyak 36,000 tong sehari, selain 50 peratus hak penjual bersama gas asli kepada pelanggan sedia ada di Kota Kinabalu dan Labuan. – Info X