KOTA KINABALU: Kerajaan perlu mencari jalan mengatasi isu harga racun serta baja melonjak naik sehingga mencecah dua kali ganda.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah berpendapat kerajaan dilihat perlu memberikan subsidi kepada pekebun kecil yang terkesan sekiranya kenaikan harga bahan pertanian masih sukar dikawal.
“Saya mendengar rintihan warga petani yang sangat tertekan dengan kos bahan pertanian melambung selain ditambah kos sarah hidup yang tinggi.
“Jika dulu di Sabah harga baja untuk 50 kilogram adalah RM110 namun jumlah itu kini meningkat kepada RM220.
“Sebagai pemimpin akar umbi, saya sendiri terkejut dengan harga bahan input pertanian itu dan berharap Kementerian Perusahan Perladangan dan Komuditi (KPPK) mengemukan usul bantuan dalam Bajet Khas 2023 yang dibantangkan pada hari ini,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Masiung juga meminta kementerian berkaitan di peringkat persekutuan tidak lagi berdolak dalik berhubung masalah itu malahan sebaliknya mencari jalan keluar agar pekebun kecil tidak terus dibelenggu harga bahan kimia mahal.
Masiung berkata, kenaikan harga, racun rumpai dan baja bermula sejak ketika negara berdepan pandemik Covid-19 pada pertengahan tahun 2020.
“Bagaimanapun, kerajaan pada ketika itu gagal mengawal kenaikan harga bahan kimia berkenaan hingga terus melonjak mencacah dua kali ganda ketika ini, ” katanya. – Info X