SANDAKAN: Tindakan beberapa ahli UMNO bahagian Kinabatangan yang mengumumkan keluar parti, hari ini bukan suatu perkara memberikan kesan terhadap UMNO di bahagian itu.
Ketua Penerangan UMNO Bahagian Kinabatangan, Datuk Titing Putang berkata, tindakan berkenaan tidak langsung menjejaskan semangat juang ahli lain yang masih setia dan memiliki prinsip perjuangan.
“Rakyat hari ini sudah matang melihat budaya lompat parti yang sebelum ini sudah lama wujud di Sabah dan ia bukan suatu perkara baru.
“Kita melihat mereka yang keluar dari UMNO ini bukanlah ahli atau pemimpin parti yang memiliki maruah serta prinsip perjuangan yang tulen.
“Selain itu, semua individu ini juga tidak pernah menghargai jasa dan sumbangan UMNO sehingga mereka berada dalam kedudukan sekarang.
“Biasalah dalam hidup ini umpama semut, di mana ada gula di situlah mereka berhimpun mencari makan. Begitu juga manusia apabila agenda peribadi gagal dipenuhi, mereka akan mencari ruang baharu untuk meneruskan kehidupan,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.
Titing berkata demikian bagi mengulas tindakan sekumpulan ahli UMNO Bahagian Kinabatangan yang diketuai oleh Bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Kinabatangan, Juhari Janan yang mengumukan keluar parti dan kemudiannya menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat).
Sementara itu, Juhari dalam sidang medianya sejurus pengumuman keluar UMNO Kinabatangan berkata, tindakan itu diambil kerana memikirkan hala tuju pembangunan Sabah.
Dalam pada itu Titing berkata UMNO bahagian menghormati keputusan mereka yang meninggalkan UMNO dan ini memberikan ruang kepada kepimpinan UMNO Bahagian untuk menilai ahli-ahli parti yang benar-benar ikhlas dalam perjuangan.
Menurut Titing lagi dengan meninggalkan Umno, ia tidak menjanjikan pembaharuan yang lebih baik kepada pengundi-pengundi di kawasan Parlimen Kinabatangan yang merangkumi dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Lamag dan Sukau berbanding yang sudah dilakukan UMNO bahagian selama ini. – Info X