RANAU: Kejadian banjir lumpur dilaporkan berlaku di Kampung Komburongoh, di sini, selepas hujan lebat pagi tadi namun tiada penduduk dipindahkan.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, bilik kawalan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau terima panggilan kecemasan berlaku banjir jam 10.48 pagi.
Katanya, sepasukan bomba kemudian bergerak ke lokasi kejadian untuk pemantauan.
“Setiba di lokasi kejadian, pasukan bomba membuat pemantauan di seluruh kawasan yang dilaporkan dan memberi nasihat kepada penduduk untuk berpindah ke kawasan selamat.
“Tiada operasi pemindahan dijalankan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, selepas memastikan keadaan air semakin surut dan tiada bahaya lain, operasi ditamatkan pada 4 petang. – Info X