Search

PPM rampas minuman keras bernilai hampir RM600,000 dalam Op Kontraban

March 2, 2023

admin

BEAUFORT: Pasukan Polis Marin (PPM) mematahkan cubaan sindiket penyeludupan selepas menahan empat lelaki dan merampas 1,758 karton dan botol minuman keras serta tiga lori bernilai hampir RM600,000.

Semua tangkapan lelaki tempatan berusia 33 hingga 39 tahun itu dijalankan sepasukan PPM dari Markas PPM Wilayah Empat Sabah Kota Kinabalu, dalam Op Kontraban di jeti tepi sungai Kampung Bintuka Laut, di sini, semalam.

Minuman keras tidak bercukai dirampas anggota PPM Kota Kinabalu dalam Op Kontraban.

Menurut sumber, bertindak atas maklumat awam berkaitan aktiviti penyeludupan minuman keras tidak bercukai, sepasukan PPM Kota Kinabalu membuat serbuan di tepi sungai Bintuka Laut.

“Ketika intipan dilakukan, mengesan tiga lori sarat dengan muatan minuman keras pelbagai jenama disyaki tidak bercukai.

“Beberapa individu dipercayai ‘orang tengah’ sedang memunggah minuman keras masuk ke lori dari sebuah bot laju di tepi jeti berkenaan,” katanya di sini, hari ini.

Sumber berkata, sepasukan PPM Kota Kinabalu kemudian memperkenalkan diri lalu menahan empat lelaki terbabit.

Lori bawa muatan minuman keras tidak bercukai turut dirampas.

“PPM turut merampas tiga lori dengan muatan minuman keras pelbagai jenama disyaki tidak bercukai.

“Manakala bot yang berada di tepi sungai memecut laju meninggal lokasi kejadian,” katanya.

Sementara itu, Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Ariffin ketika dihubungi mengesahkan tangkapan dan rampasan berkenaan.

Katanya, semua tangkapan dan rampasab dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort untuk siasatan lanjut.

“Nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM582,400.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 135 Akta Kastam 1967,” katanya. – Info X