Search

Sabah sambut ketibaan pelancong dari Guangzhou

March 2, 2023

admin

KOTA KINABALU: Seramai 140 pelancong dari Guangzhou tiba di Sabah hari ini menerusi penerbangan terus yang pertama dari China sejak pandemik lalu.

Penumpang berkenaan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) pada jam 5.30 pagi tadi menerusi penerbangan AirAsia.

Kehadiran kesemua pelancong itu juga disambut Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar yang juga Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah (STB) Datuk Joniston Bangkuai.

Beliau berkata, China merupakan pasaran utama yang penting dalam sektor pelancongan di Sabah.

“Kami sangat teruja untuk menerima kembali pelancong dari China dan kami berharap pemain industri akan terus menyediakan perkhidmatan hospitaliti yang luar biasa kepada tetamu kami,” katanya.

Turut hadir Setiausaha Tetap kementerian, Datuk Sr Mohd Yusrie Abdullah; Konsul Besar China di Kota Kinabalu, Huang Shifang; dan Ketua Pegawai Eksekutif STB, Noredah Othman.

Sementara itu, penerbangan tambang murah AirAsia turut dijadualkan ‘menerbangkan’ penumpang daripada Shenzhen ke KKIA, esok.

Sabah menjangkakan ketibaan pelawat dari China pada awal tahun ini namun ianya tertangguh berikutan proses pengeluaran pasport yang lewat kepada warganegara berkenaan. – Info X