RANAU: Seramai 12 keluarga di Kampung Lembah Permai, Kundasang dinasihatkan agar berpindah ke kawasan yang lebih selamat selepas kejadian tanah runtuh, baru-baru ini.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam berkata, semua penduduk berhampiran lokasi terjejas juga dinasihatkan agar sentiasa peka dan memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa sekiranya diarahkan untuk berpindah secepat mungkin.
Katanya, Kundasang adalah kawasan tanah tinggi dan cenderung dengan kejadian tanah runtuh selain sentiasa berlaku pergerakan tanah.
Tambahnya, baru-baru ini juga kawasan berkenaan direkodkan dengan kejadian gelinciran tanah atau aliran puing yang menjejaskan 12 keluarga.
“Kejadian aliran puing itu adalah dicetuskan oleh hujan lebat terhadap cerun yang mempunyai lapisan tanah dengan batuan retak.
“Lapisan yang sentiasa mengalami pergerakan tanah ini membekalkan serpihan batuan bersama tanah ke dalam saliran cerun bermula daripada tanah runtuh tebing saliran atau sedimen mudah terangkut yang masih berada di bahagian atas cerun.
“Oleh itu, penduduk di kawasan terjejas dinasihatkan untuk bersiap siaga dan berpindah sekiranya diarahkan oleh pihak berkuasa serta ahli Jawatankuasa Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) yang menjalankan pemantauan,” katanya.
Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada semua agensi yang dipengerusikan oleh Pegawai Daerah Ranau selaku Pengerusi PKOB Jumain Abdul Ghani dengan kerjasama dan tugas yang dilaksanakan.
Sementara itu, Jumain berkata, usaha mencari tapak baharu untuk penempatan penduduk kampung yang terjejas sedang diusahakan.
Katanya, laporan daripada pemimpin kampung di kawasan terjejas juga perlu dihantar kepada PKOB dalam tempoh setiap lima jam untuk sebarang tindakan lanjut.
Jumain turut menghargai kerjasama daripada Angkatan Pertahanan Malaysia (APM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dengan komitmen yang diberikan.
“Saya berharap penduduk di Kampung Lembah Permai akan memberikan kerjasama bagi melancarkan proses perpindahan dan penduduk yang memerlukan sebarang tindakan perlu berhubung dengan PKOB khususnya APM,” katanya. – Info X