KOTA KINABALU: Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Christina Liew menggesa Jabatan Kerja Raya supaya segera membaiki kerosakan struktur bumbung, berhadapan pintu galeri di bangunan utama Jabatan Muzium Sabah, di sini.
Katanya, kerja pembaikan perlu dilaksanakan segera kerana ia akan mendatangkan bahaya kepada kakitangan jabatan dan juga pelancong.
“Pengunjung khususnya pelancong antarabangsa kini sudah mula mengunjungi Sabah. Muzium Sabah merupakan antara salah satu destinasi pelancongan yang wajib dikunjungi di sini dan jaring yang dipasang bagi menghalang serpihan daripada jatuh ke bawah juga berbahaya kepada pengunjung.
“Saya difahamkan kerja pembaikan di kawasan yang rosak sudah lama tertangguh memandangkan masalah itu bermula sejak Jun 2020, dan tindakan segera sepatutnya diambil sejak itu,” katanya dalam kenyataan di sini, kelmarin.
Christina mendesak agar perkara ini diberi perhatian segera agar tidak berlaku sebarang kejadian tidak diingini kepada kakitangan serta pelancong.Katanya, JKR telah menjalankan kerja-kerja pemeriksaan segera selepas menerima laporan mengenai kejadian keretakan bumbung yang berlaku pada 2020.
“Jabatan Muzium Sabah juga dinasihatkan untuk menggunakan peruntukan untuk melakukan pembaikan segera dengan memasang jaring dan mengeluarkan serpihan, sementara menunggu anggaran kos oleh JKR.
“Setahun kemudian, JKR meminta pihak Muzium Sabah menyalurkan sejumlah RM231,055 bagi membolehkan kerja-kerja pembaikan dilaksanakan segera oleh JKR,” katanya.
Bagaimanapun katanya, pertemuan terakhir diantara kedua-dua jabatan itu diadakan pada September 2022, di mana dilaporkan jumlah wang disalurkan oleh Muzium Negeri kepada JKR untuk kerja-kerja baik pulih bumbung adalah tidak mencukupi. – Info X