PAPAR: Suami isteri maut apabila motosikal ditunggang terbabit kemalangan di Kilometer 14 Jalan Lama Papar – Kota Kinabalu, laluan Pan Borneo, di sini, semalam.
Kejadian jam 6.30 petang itu mengakibatkan pembonceng wanita berusia 45 tahun parah di kepala disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala suaminya berusia lingkungan 50 tahun meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Papar, jam 7 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Papar, Deputi Superintendan Kamaruddin Ambo Sakka berkata, kemalangan membabitkan motosikal jenis Yamaha Y125ZR dinaiki pasangan terbabit dengan sebuah kereta jenis Perodua Viva dipandu seorang wanita berusia 23 tahun.
Katanya, siasatan awal mendapati nahas dipercayai berlaku apabila motosikal dinaiki pasangan itu secara tiba-tiba keluar dari simpang kiri (Simpang Kampung Mangis) dan terus memasuki lorong kanan jalan.
“Oleh kerana jarak terlalu dekat, pemandu Perodua Viva tidak sempat brek dan mengelak lalu melanggar motosikal berkenaan.
“Akibat perlanggaran itu, mangsa pembonceng motosikal warga Indonesia parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan Hospital Papar,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Kamaruddin berkata, penunggang motosikal yang keterangan dirinya belum diketahui turut parah dan dikejarkan ke hospital yang sama.
“Namun mangsa disahkan meninggal dunia kira-kira jam 7 pagi tadi.
“Pemandu Perodua Viva yang tidak mengalami sebarang kecederaan dipercayai memandu kenderaannya seorang diri dari Kampung Kawang menghala ke Benoni, Papar,” katanya.
Tambahnya, mayat pembonceng wanita dihantar ke Unit Forensik Hospital Papar untuk tujuan bedah siasat.
“Siasatan masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – Info X