Search

1,500 keluar Warisan? hadir sidang media pun tak sampai 50 orang – Azis Jamman

March 6, 2023

admin

KOTA KINABALU: Ketua Penerangan Warisan, Datuk Azis Jamman menyangkal dakwaan bekas timbalan ketua pemuda parti itu, Ismail Sabran yang mengatakan seramai 1,500 pemimpin serta ahli Warisan di Tawau telah bertindak keluar parti.

Katanya, kenyataan yang dikeluarkan Ismail itu hanya semata-mata mahu meyakinkan ‘bos’ baharunya dengan menampakkan mereka mempunyai penyokong yang ramai.

Beliau berkata, yang keluar daripada Warisan sebenarnya hanyalah beberapa orang yang didakwa ingin ‘mencari makan’ dengan platform politik lain.

“Banyak kenyataan media yang dikeluarkan bekas-bekas ahli Warisan termasuk bekas wakil rakyat, bekas pemimpin bahagian dan pusat yang keluar dengan disokong oleh ribuan ahli kononnya mengikuti mereka.

“Terkini kononnya 1,500 orang keluar bersama bekas timbalan ketua Wira pusat, kenapa tepat 1500? Kenapa bukan 1,523 atau 1,501?

“Seolah-oleh mereka memilih angka yang senang ditulis dan dikira? Peliknya yang berdiri di belakang semasa sidang media tidak sampai pun 50 orang?

“Jawapannya mudah, kerana bagi memastikan mereka relevan di dalam parti yang baharu, mereka kena menyakinkan ‘bos’ baharu mereka bahawa mereka punya ramai penyokong, Warisan ingin memaklumkan bahawa yang keluar hanya beberapa orang yang hanya masuk politik untuk cari makan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Azis berkata, mereka yang kekal setia dalam Warisan adalah mereka yang faham dengan agenda perjuangan parti itu dan mendokong perjuangan serta bukan kerana kepentingan peribadi.

Katanya, sebagai ahli dalam Warisan, beliau tahu siapa yang ahli atau bukan dalam parti berkenaan.

“Saya tidak bercadang untuk mencantas usaha kawan-kawan yang telah keluar dan ingin ‘cari makan, di tempat baharu.

“Sebagai ahli dalam parti Warisan, kita tahu berapa ahli kita dan siapa ahli kita, tidak dinafikan ada ahli yang keluar namun tidaklah sebagaimana yang digambarkan.

“Hakikatnya kekuatan Warisan terletak pada sokongan ahli akar umbi, rakyat biasa yang melihat perjuangan Warisan bukan kerana pangkat dan wang ringgit serta berdiri pada prinsip dan bukan lalang,” katanya. – Info X