TAMBUNAN: Seorang lelaki maut selepas treler yang dipandunya terbabas sebelum terjatuh ke gaung sedalam 28 meter di Kilometer 15 Jalan Tambunan – Ranau, berhampiran Kampung Babagon, di sini, petang tadi.
Dalam kejadian jam 3.20 petang itu, pemandu lelaki berusia 26 tahun yang tersepit dalam treler mengalami parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintendan Nor Rafidah Kasim berkata, siasatan awal mendapati treler dengan muatan kayu balak itu dipercayai terbabas (terundur) sendiri terjatuh ke gaung sedalam kira-kira 28 meter.

“Akibat kejadian itu, pemandu tersepit dalam treler dan dikeluarkan sepasukan bomba.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Polis memohon kepada saksi awam yang melihat kejadian itu untuk tampil ke Balai Polis Trafik Keningau untuk membantu siasatan,” katanya. – Info X