Tawau: Tindakan pantas anggota bomba mengawal kebakaran di sebuah kedai haiwan di Batu 3, Jalan Apas, di sini, hari ini turut menyelamat 12 ekor kucing dan empat ekor anjing.
Dalam kejadian jam 7.10 pagi itu, tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 7.15 pagi.
Katanya, seramai 14 pegawai dan anggota bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau digerakkan ke tempat kejadian.
“Sebaik tiba di lokasi, operasi pemadaman dijalankan dengan menggunakan satu aliran.
“Pada masa sama, pasukan bomba bertindak mengeluarkan 12 ekor kucing dan empat ekor anjing ke tempat yang selamat,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, kebakaran membabitkan barang makanan kucing dalam kedai dan tidak membabitkan struktur bangunan.
“Pemeriksaan dijalankan bagi memastikan tidak ada bahaya lain di lokasi kejadian.
“Operasi tamat pada jam 8.40 pagi,” katanya. – Info X