KINABATANGAN: Sebuah rumah kayu dua tingkat roboh akibat limpahan air sungai dalam kejadian di Kampung Pengkalan Bukit Garam, di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, semua penghuni berjaya keluar dan dalam keadaan selamat.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kinabatangan, Nurul Azlan Shah Jamaluddin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 7.30 pagi.
Katanya, seramai lima anggota termasuk pegawai bersama jentera Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan digerakkan ke tempat kejadian.

“Ketika tiba di lokasi, didapati sebuah rumah dua tingkat jenis tidak kekal roboh akibat limpahan air sungai.
“Tiada mangsa dilaporkan terbabit selepas penghuni rumah berjaya keluar lebih awal sebelum kejadian itu berlaku,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, pasukan bomba kemudian menjalankan pemeriksaan di lokasi dan bertindak memasang sawar-sawar.

“Operasi ditamatkan pada 8.20 pagi,” katanya. – Info X