KOTA KINABALU: Kegagalan majikan membayar gaji minimum RM1,500 kepada pekerja antara tindakan diambil terhadap 39 majikan dalam operasi bersepadu Kementerian Sumber Manusia (KSM).
Pengarah Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Sabah, Wan Zulkfli Wan Setapa berkata, semua kesalahan itu berjaya dikesan sepanjang operasi selama tiga hari yang dilaksanakan pihaknya.
Katanya, kesalahan lain yang turut dikesan adalah majikan gagal menyimpan daftar pekerja di dalam premis selain membuat potongan gaji tanpa permit yang diluluskan.

“Kita juga mengesan majikan yang tidak memiliki lesen sah untuk menggaji pekerja bukan pemastautin.
“Ada juga majikan yang dikesan gagal atau lewat menjelaskan caruman berkanun dan faedah caruman lewat bayar (FCLB) Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO),”katanya ketika ditemui selepas operasi selesai, hari ini.
Operasi disertai seramai 57 pegawai membabitkan jabatan serta agensi KSM termasuk Jabatan Tenaga Kerja (JTK), JKKP, PERKESO dan Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp).
Wan Zulkfli berkata, ada juga majikan yang gagal memberi maklum balas dan mendaftar mengikut Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB) selain tidak mendaftar tempat kerja pada Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP).
“Sebahagian majikan lain juga menerima notis pematuhan selepas tidak mendaftarkan jentera yang digunakan di permis di bawah JKKP dan gagal mewujudkan dasar serta jawatankuasa keselamatan dan kesihatan pekerjaan di tempat kerja.
“Semua 39 majikan terbabit akan dikenakan tindakan undang-undang termasuk kompaun serta pendakwaan sekiranya gagal mematuhi notis yang dikeluarkan dalam tempoh yang ditetapkan.
“Operasi bersepadu yang pertama kali diadakan di Sabah itu berjaya memeriksa sebanyak 60 majikan dari sektor perkhidmatan, pembinaan, pembuatan, perdagangan jual borong serta runcit, maklumat dan telekomunikasi,” katanya.
Sementara itu, Wan Zulkifli berkata, tujuan operasi diadakan adalah bagi memastikan undang-undang perburuhan dipatuhi serta mengukuhkan aktiviti penguatkuasaan bagi memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerja terpelihara.
“Kita menumpukan kepada majikan yang menggaji lebih daripada sepuluh pekerja bagi memastikan pematuhan Ordinan Buruh Sabah bagi Bab 67 serta Kaedah-Kaedah Buruh, Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 (Akta 732) dan Perintah Gaji Minimum, Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) dan Peraturan-Peraturan (Am) Keselamatan Sosial Pekerja 1971.
“Operasi juga ditumpukan bagi memastikan majikan mematuhi Akta Sistem Insurans Pekerjaan (Akta 800), Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 dan Akta Kilang dan Jentera 1967 serta Akta Pembangunan Sumber Manusia Berhad 2001,” katanya.
Sehubungan itu, Wan Zulkfli menggesa semua majikan di Sabah sentiasa peka dan mematuhi kehendak akta yang dikuatkuasakan kementerian, jabatan dan agensi KSM.
Sementara itu, Pengarah PERKESO Sabah Dr Mohd Ali Hinda berkata pihaknya turut mengeluarkan notis kepada majikan yang gagal mematuhi peraturan yang ditetapkan dalam usaha memastikan kebajikan pekerja terpelihara.
Dalam masa sama katanya pihak PERKESO turut menjalankan operasi susulan dengan berkerjasama sengan agensi di bawah kementerian sama bagi melaksanakan program pencegahan terhadap kemalangan di tempat kerja.
“Kita akan melaksanakan Ops Cegah bagi memberi kesedaran kepada majikan di kawasan tempat kerja yang berpotensi berlakunya kemalangan pada kadar tinggi.
“Usaha ini dipandang serius bagi memastikan wijud elemen pemcegahan di tempat industri untuk mengurangkan kadar kemalangan pekerja di tempat kerja,” katanya. – Info X