KOTA KINABALU: Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) menetapkan kadar zakat fitrah di Sabah pada tahun ini RM 7.
Pengisytiharan kadar itu diumumkan oleh Yang Di-Pertua, Majlis Ugama Islam Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Yahya Hussin.
“Mewakili Majlis Ugama Islam Sabah dengan ini mengisytiharkan bahawa kadar Zakat Fitrah bagi tahun 1444 hijriah bersamaan tahun 2023 ialah RM7.00 ke atas setiap orang Islam yang bermastautin di negeri Sabah.
“Kadar ini adalah berasaskan sukatan satu gantang baghdad atau 2.7 kilogram beras yang dimakan oleh majoriti penduduk di Negeri Sabah”, ujar beliau dalam satu Majlis Pengisytiharan Kadar Zakat Fitrah Negeri Sabah Tahun 2023 di Hotel Hilton, di sini, hari ini.
Dalam perkembangan lain, Sabah menurut Yahya mencatatkan kutipan cukai dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM133,427,075.97 pada tahun lalu.
Daripada jumlah tersebut katanya, sebanyak RM122,498,456.57 merupakan hasil pungutan zakat harta manakala sebanyak RM10,928,619.40 lagi merupakan hasil pungutan zakat fitrah.
Bagi agihan zakat fitrah, sebanyak 121,998,470.08 telah diagihkan kepada seramai 95,255 orang asnaf di negeri itu termasuk golongan fakir, miskin, mualaf, amil, al-riqab, al-gharimin, ibnu sabil, dan fisabilillah. – Info X