Search

ATM laksana inisiatif perumahan untuk veteran dan balu

March 10, 2023

admin

TAMBUNAN: Angkatan Tentera Malaysia (ATM), hari ini, melaksanakan Program Inisiatif Perumahan Veteran ATM bagi membantu pembinaan rumah kepada empat veteran dan balu.

Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV), Mejar Jeneral Zambery Jefry Darus berkata, program berkenaan adalah salah satu strategi inisiatif Peningkatan Kualiti Hidup selaras dengan Pelan Strategik MINDEF dalam Teras 7.

Katanya, ia memberi penekanan dalam usaha membantu Veteran ATM yang berpendapatan rendah atau miskin.

“Program ini dilaksanakan bagi membantu dengan menyediakan kediaman yang lebih kondusif dan selesa kepada warga veteran ATM.

“Ianya merangkumi dua skop kerja iaitu membina kediaman baharu dan membaikpulih rumah Veteran ATM mengikut syarat yang ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Kunci Rumah Inisiatif Perumahan Veteran ATM di Kampung Mangi-Pangi, di sini.

Pada majlis berkenaan, Zambery turut menandatangani plat perasmian dan menyerahkan replika kunci rumah kepada Rosalia Kuling iaitu balu veteran mendiang Taddeus Konduhulu.

Yang turut hadir, Pengarah JHEV Cawangan Negeri Sabah Mejar Nor Khairi Abd Rahman dan Pengarah Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) Cawangan Sabah, Mohd Hafiz Abdullah.

Tiga lagi penerima Inisiatif Perumahan bagi Sabah ialah veteran Ali Tamban, Abu Chik Rahmat dan Noraisah Mohd Yaakub, balu kepada Allahyarham Sapari Asmalia.

Semua penerima juga diberikan veteran peralatan pesakit berupa kerusi roda bagi memudahkan pergerakan mereka.

Sementara itu, Zambery berkata Program Rumah Mesra Rakyat (RMR) ini diwujudkan oleh SPNB bagi membantu golongan berpendapatan isi rumah dibawah RM 3,000,

“Ia memberi peluang kepada mereka yang tidak mempunyai rumah atau tinggal di rumah usang tetapi mempunyai tanah untuk membina rumah sendiri yang sempurna dan selesa.

“Veteran ATM boleh membuat permohonan RMR di mana rumah akan dibina atas tanah sendiri dengan kos yang lebih rendah berbanding projek perumahan lain,” katanya.

Zambery berkata, menerusi kuota program itu, Veteran ATM akan menerima dua peringkat bantuan iaitu subsidi dibawah Skim RMR yang dikawal selia oleh SPNB bernilai RM 20,000.

“Bagi peringkat kedua pula adalah bantuan perumahan JHEV ATM bernilai RM65,000 di Semenanjung Malaysia dan RM75,000 di Sabah dan Sarawak.

“Manakala kos siling bagi bantuan baik pulih rumah pula bernilai RM17,000 seunit,” katanya. – Info X