Search

Tiga parah kenderaan terbabas

March 11, 2023

admin

NABAWAN: Tiga parah termasuk dua wanita selepas kenderaan pacuan empat roda dinaiki mereka terbabas berhampiran Sekolah Kebangsaan Tampusison, Jalan Nabawan – Sepulut, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 7.30 pagi itu, mangsa yang parah berusia 30, 31 dan 37 tahun dihantar ke Hospital Keningau, untuk rawatan lanjut.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, tujuh anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sook bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan jam 7.42 pagi.

Kenderaan pacuan empat roda jenis Isuzu D Max dinaiki mangsa rosak teruk di bahagian hadapan. – Foto Bomba

Katanya, kemalangan membabitkan kenderaan jenis Isuzu D Max terbabas sendiri dan terdapat tiga mangsa parah termasuk dua wanita.

“Pasukan bomba bertindak memberi rawatan awal pada mangsa dan seterusnya diserahkan kepada pihak ambulans untuk tindakan lanjut.

“Semua mangsa dibawa ke Hospital Keningau menaiki ambulans,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, selepas memastikan tidak ada bahaya lain, operasi ditamatkan pada 9.50 pagi. – Info X