Search

Kanak-kanak 3 tahun dipercayai diikat, dibunuh

March 12, 2023

admin

LAHAD DATU: Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun dipercayai dibunuh selepas ditemui dalam keadaan tangan diikat di kawasan semak di Kampung Panji, di sini semalam.

Mayat mangsa yang ditemui orang awam dalam keadaan berdarah dan kepalanya turut tersepit di antara dua belah pokok, sebelum dilaporkan kepada polis.

Pemangku Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Superintendan Azmir Abdul Razak berkata, pihaknya menerima laporan mengenai penemuan mayat itu jam 3.50 petang semalam, sebelum sepasukan pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu dikejarkan ke lokasi.

Katanya, siasatan awal mendapati mangsa adalah dari suku Palauh dan ketika ditemui mangsa cedera luka di bahagian kepala, kedua belah tangan dan kaki kiri.

“Tangan sebelah kanan mangsa turut diikat menggunakan seutas tali. Kepala mangsa turut tersepit di antara dua belah pokok.

“Mangsa juga cedera di kepala dipercayai dicederakan dengan benda tajam dan terdapat kesan torehan di kedua-dua belah tangan dan kaki kiri,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Azmir berkata, siasatan mendapati ibu mangsa yang berusia lingkungan 20 tahun memaklumkan mangsa keluar dari rumah untuk bermain namun tidak balik ke rumah sehingga mangsa ditemui.

“Mangsa kali terakhir dilihat pada 12 tengah hari semalam dan ibu mangsa telah berusaha mencari di sekitar kampung dan jam 3 petang, ibu mangsa dimaklumkan anaknya ditemui di kawasan semak di Kampung Panji.

“Ibu mangsa kemudian meminta bantuan daripada orang awam bagi menghubungi polis untuk mendapatkan bantuan,” katanya.

Menurutnya, bertindak atas maklumat orang awam, seorang lelaki warga asing berusia lingkungan 30 tahun ditahan bagi membantu siasatan.

Katanya, tangkapan ini adalah individu yang dilihat terakhir kali bersama dengan mangsa.

“Suspek juga didapati positif dalam penyalahgunaan dadah serta dipercayai kurang siuman.

“Turut ditahan kedua-dua ibu bapa mangsa yang berusia lingkungan 20 dan 30 tahun juga warga asing untuk siasatan lanjut,” katanya.

Tambah beliau lagi, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

“Masyarakat di daerah ini dinasihatkan supaya tidak panik dan menularkan maklumat-maklumat yang tidak sahih sumbernya dan hendaklah merujuk kepada pihak polis bagi memastikan kebenaran sesuatu maklumat,” katanya. – Info X