Search

Konsert Kalimaran platform kembang seni budaya Murut

March 13, 2023

admin

TENOM: Penganjuran konsert Kalimaran bukan sahaja memberi peluang kepada artis tempatan Murut di Sabah untuk menunjukkan bakat mereka malah menjadi asas kepada pengembangan seni budaya khususnya etnik murut.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Ellron Angin berkata, platform berkenaan juga boleh digunakan sebagai tempat mempromosikan kebudayaan etnik murut kerana ia bukan melibatkan golongan sasar sahaja, tetapi menyeluruh.

“Selaras dengan pembangunan industri kreatif Sabah, konsert ini bukan hanya mampu menjana hasil yang signifikan untuk memandu ekonomi negeri, malah berpotensi memberi kesan positif kepada industri besar yang lain.

“Kita harus percaya bahawa walaupun kaya dengan bakat, kurangnya industrilisasi dan peluang pekerjaan dalam industri kreatif, semestinya akan mengehadkan pertumbuhan bakat tempatan serta menyukarkan kita bersaing dalam pasaran global,” katanya ketika merasmikan Konsert Kalimaran Tahun 2023, di sini, semalam.

Beliau berkata, dalam usaha memastikan Konsert Kalimaran memberi impak yang besar kepada perkembangan budaya dan seni suku kaum Murut di Sabah, semua pihak harus menggembleng tenaga.
Katanya, ia bagi memastikan ruang itu bukan sahaja menjadi ruang untuk berhibur tetapi sebagai ruang melahirkan pemain industri yang berilmu dan berbakat.

“Saya ingin menyeru kepada semua agar meneruskan kerjasama strategik ini dan memastikan Konsert Kalimaran terus menjadi pengisian utama di dalam Pesta Kalimaran yang akan datang,” katanya. – Info X