KOTA KINABALU: Program Oksigen (O2) Untuk Rakyat #SharingIsCaring diperkenalkan kerajaan negeri bagi memenuhi keperluan rawatan perubatan rakyat yang kurang berkemampuan di Sabah.
Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor berkata, program itu dilaksanakan kerana kerajaan sedar bahawa peralatan mesin dan tangki oksigen tidak mampu dimiliki oleh semua pesakit disebabkan harganya yang mahal.
Beliau berkata, usaha itu akan dilaksanakan melalui Yayasan Kebajikan Sabah (YKS) dan Sabah Energy Corporation (SEC).
“Bekalan peralatan sedia ada di hospital juga tidak mencukupi dan pesakit juga terpaksa berulang alik ke hospital bagi mendapat rawatan.
“Selain itu, masih ramai lagi individu di luar sana yang tidak berkemampuan dan amat memerlukan perkhidmatan itu, yang mana mereka tidak berdaftar dengan Jabatan Kesihatan.
“Berdasarkan keperluan itu, Program Oksigen Untuk Rakyat #SharingIsCaring ini diperkenalkan.
“Usaha murni ini tercetus atas keprihatinan kerajaan negeri melalui YKS dan SEC bertujuan membantu rakyat negeri ini yang kurang berkemampuan dan memerlukan bantuan peralatan oksigen,” katanya pada majlis pelancaran Program O2 Untuk Rakyat #SharingIsCaring, di sini, hari ini.
Hajiji berkata, sepanjang 2022 sehingga Januari 2023, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) mencatatkan sebanyak 74 kes pesakit di Sabah yang memerlukan bantuan mesin oksigen Manakala 11 pesakit lagi memerlukan bantuan tangki oksigen.
“Daripada 74 kes pesakit yang memerlukan bantuan mesin oksigen tersebut, seramai 36 orang pesakit direkodkan di Zon Kota Kinabalu, 15 orang di Zon Sandakan, 14 orang di Zon Tawau, tujuh di Zon Keningau dan dua di Zon Beaufort.
“Manakala, bagi 11 keperluan tangki oksigen pula, seramai enam orang pesakit direkodkan di Zon Kota Kinabalu dan lima orang di Zon Sandakan,” katanya.
Beliau berkata, selain bekerjasama dengan jabatan kesihatan, beliau mahu pemimpin masyarakat seperti Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) di seluruh Sabah membantu menguar-uarkan perkhidmatan itu kepada mereka yang memerlukannya.
Katanya, menerusi program berkenaan, peralatan mesin oksigen dan tangki oksigen ditempatkan di hospital kerajaan dan diberikan secara pinjaman dengan dikawal selia oleh jabatan kesihatan.
“Bantuan ini diberikan kepada semua rakyat yang memerlukannya tanpa mengira bangsa, agama dan latar belakang.
“Pelaksanaan program itu adalah bertepatan dengan konsep dan pendekatan Malaysia Madani yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri melalui penerapan enam rukun teras iaitu Kemampanan, Kesejahteraan, Daya Cipta, Hormat, Keyakinan dan Ihsan.
“Dalam konteks ini, aspek kesejahteraan dan kesihatan rakyat telah dijadikan dimensi pengukur kadar kemiskinan bagi melihat tahap pencapaian negara ke arah mewujudkan sebuah negara Madani yang menjadi impian kita semua.
“Di bawah Hala Tuju Sabah Maju Jaya, aspek kesejahteraan rakyat juga telah diberikan penekanan utama. Penubuhan YKS juga adalah satu platform kerajaan negeri untuk membantu dan mendekati golongan rakyat Sabah yang memerlukan bantuan dan perhatian secara khusus,” katanya. – Info X