KOTA KINABALU: Polis Sabah menawarkan diskaun sebanyak 50 peratus untuk pembayaran saman trafik terpilih selama lima hari bermula 27 hingga 31 Mac 2023.
Pengumuman itu dibuat di laman Facebook Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Sabah, hari ini yang memaklumkan tawaran itu sempena Peringatan Hari Polis Ke-216.
Menurut hantaran itu, pembayaran boleh dibuat di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah dan seluruh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabah.
Tempoh pembayaran bermula jam 9 pagi dan berakhir pada 4 petang sepanjang tempoh lima hari berkenaan.
Diskaun 50 peratus untuk semua jenis saman trafik kecuali seperti berikut.
1. Kemalangan.
2. Saman berstatus Op Selamat.
3. Saman tidak boleh kompaun (NC).
4. Saman bicara mahkamah.
5. Saman berkaitan kenderaan berat m/lori.
6. Saman kesalahan potong secara bahaya/potong Q.
7. Saman kesalahan menggunakan lorong kecemasan.
8. Saman tidak patuh isyarat lampu merah.
9. Saman kesalahan potong di garisan berkembar.
10. Kesalahan pengubahsuaian ekzos kenderaan.