SANDAKAN: Cubaan sebuah bot kargo disyaki membawa masuk pendatang asing tanpa izin (PATI) gagal apabila ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Sandakan, semalam.
Dalam kejadian jam 4.30 petang itu, bot kargo tempatan itu ditahan di kedudukan 0.3 batu nautika barat daya Pulau Libaran.
Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kepten Maritim Zainudin Mohd Zuki berkata, hasil pemeriksaan mendapati bot itu dikemudi tekong lelaki warga tempatan berusia 42 tahun disyaki melakukan perjalanan dari Pulau Boan, Filipina menuju ke Sandakan.
Katanya, hasil pemeriksaan juga menemui penumpang terdiri daripada tiga lelaki berusia 35 hingga 63 tahun dan tiga wankta berusia 22 hingga 60 tahun.
“Seorang daripada mereka pemegang pas IMM13 manakala lima lagi disyaki warga Filipina yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.
“Pemeriksaan lanjut turut mendapati lesen bot yang membawa PATI terbabit telah tamat tempoh,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, bot beserta semua penumpang dan tekong ditahan dan diiringi ke Jeti Zon Maritim Sandakan untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia.
“Kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002,” katanya. – Info X