Search

Tenaga pakar lewat tiba punca projek empangan di Tawau tertangguh

March 14, 2023

admin

TAWAU: Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Shahelmey Yahya berkata, kelewatan tiba tenaga pakar punca projek empangan air Cinta Mata di Gudang Empat tidak dapat disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan.

Beliau yang juga timbalan ketua menteri berkata, kelewatan itu akibat penularan pandemik COVID-19 yang menyebabkan tenaga mahir dari China tidak dapat keluar dari negara mereka.

Katanya, perjalanan beberapa tenaga mahir dari China yang menjalankan projek empangan tersebut tergendala akibat pintu sempadan negara mereka masih ditutup ketika itu.

“Namun, saya difahamkan semua tenaga mahir berkenaan sudah tiba dan projek ini sudah dapat diteruskan semula.

“Kita berharap projek ini dapat disiapkan dalam tempoh tiga tahun daripada sekarang supaya masalah bekalan air dan banjir di daerah ini dapat diselesaikan,” katanya ketika mengadakan lawatan kerja sehari ke daerah Tawau, semalam.

Turut hadir Pembantu Menteri Perindustrian dan Keusahawanan Sabah, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy.

Shahelmey berkata, setakat ini belum ada peruntukan tambahan yang diumumkan atau dikeluarkan pihak kerajaan untuk meneruskan projek tersebut.

“Kita akan melihat prestasi kemajuan projek ini dan kita juga tidak menolak ia mungkin memerlukan peruntukan tambahan disebabkan kenaikan harga barang binaan.

“Projek ini diluluskan pada tahun 2017 dan dalam tempoh lima tahun sudah pasti berlakunya kenaikan harga barang binaan, yang menyebabkan kos menyiapkan projek itu meningkat,” katanya.

Terdahulu, projek tersebut sepatutnya dijangka siap sepenuhnya dan boleh digunakan pada hujung tahun 2024. – Info X