Search

Kerajaan teliti langkah menentang penuntut dari waris Kesultanan Sulu

March 14, 2023

admin

KOTA KINABALU: Kerajaan sedang meneliti semua langkah sedia ada untuk menentang pihak penuntut yang didakwa waris Kesultanan Sulu dalam usaha memelihara kedaulatan negara.

Sekretariat Khas Sulu dalam kenyataan medianya hari ini berkata, semakan lanjut juga sedang dibuat oleh kerajaan untuk menentukan sekiranya mana-mana daripada lapan orang penuntut ini mempunyai pertalian (affiliation), hubungan kekeluargaan atau waris kepada Royal Sulu Forces (RSF) yang dihukum oleh Mahkamah dalam kes pencerobohan Lahad Datu, Sabah.

“RSF ini telahpun diisytiharkan sebagai kumpulan pengganas oleh Kerajaan Malaysia sejak April 2022.

“Selain itu, tindakan undang-undang yang diambil oleh penuntut-penuntut sehingga kini, terutamanya timbang tara komersial yang telah dijalankan, adalah tidak wajar dari segi perundangan, malah mencabar kedaulatan negara secara langsung,” katanya.

Jelasnya, sebarang tindakan yang telah diambil oleh penuntut ini melalui timbang tara komersial pada masa kini adalah bersifat mala fide, memandangkan pihak Sulu pada 1939 pernah menghadap ke Mahkamah Tinggi Borneo Utara untuk pertikaian yang terbangkit pada masa itu.

Katanya, kerajaan Malaysia menegaskan bahawa hak dan tuntutan penuntut ini adalah tidak sah, terbatal dan ditamatkan melalui pelaksanaan hak penentuan nasib sendiri (self-determination) oleh rakyat Sabah melalui perundingan Suruhanjaya Cobbold pada 1962 serta pembentukan Persekutuan Malaysia pada 1963.

Selain itu, katanya, Perjanjian 1878 yang dijadikan asas untuk timbang tara yang dijalankan di Sepanyol dan Perancis tidak mempunyai sebarang klausa timbang tara dan bukan sebuah kontrak komersial.

“Pertikaian yang terbangkit membabitkan kedaulatan negara dan Malaysia tidak pernah pada mana-mana ketika mengetepikan kekebalan kedaulatannya dan penimbang tara tidak mempunyai kuasa untuk menyelesaikan perkara yang dibawa oleh penuntut,” katanya.

Tambah Sekretariat itu lagi, perkara ini adalah selaras dengan perintah yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Sabah bagi pihak Kerajaan Malaysia pada 14 Januari 2020.

“Kerajaan Malaysia tidak akan berkompromi terhadap aspek kedaulatan dan keselamatan negara,” katanya. – Info X