KOTA KINABALU: Polis sedang memburu seorang lelaki disyaki terbabit kes samun seorang pekerja premis di Universiti Apartment, di sini, tengah malam semalam.
Dalam kejadian jam 12.12 tengah malam itu, mangsa wanita berusia lingkungan 20-an yang berseorangan dalam premis dikatakan hendak menutup kedai sebelum didatangi oleh seorang lelaki yang tidak dikenali.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, suspek yang memakai topi keledar itu kemudian merampas telefon bimbit yang dipegang mangsa sebelum bertindak melarikan diri menaiki sebuah motosikal.

Katanya, nombor pendaftaran motosikal dinaiki suspek tidak diketahui namun kelibat serta wajah suspek berjaya dirakam kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di premis berkenaan.
“Hasil penelitian CCTV itu, suspek memakai baju t-shirt kolar bulat warna putih, badan kurus, berjambang dan berambut panjang.
“Usia suspek lingkungan 30 tahun dan dipercayai warga tempatan. Topi keledar yang dipakai suspek ketika kejadian bertulis ‘SGV’,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Mohd Zaidi berkata, pihaknya memohon kerjasama orang ramai untuk menyalurkan maklumat kepada polis sekirannya ternampak suspek terbabit bagi memudahkan pihak polis untuk membuat tangkapan.
“Sebarang maklumat, sila berhubung dengan pegawai penyiasat kes Inspektor Allexius Sapikit di talian 016-3888828,” katanya.
Sementara itu, beliau menasihati orang ramai supaya sentiasa berhati-hati pada setiap masa dan berwaspada dengan setiap pergerakan terutamanya pada waktu malam di mana dipercayai memberi kesempatan kepada penjenayah untuk mengambil peluang di atas kelemahan dan kealpaan mangsa.
“Elakkan juga ke tempat atau kawasan yang terpencil dan sunyi secara berseorangan bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini,” katanya. – Info X