Search

Nahas 9 kenderaan di Sandakan, satu cedera

March 14, 2023

admin

SANDAKAN: Sebuah lori 10 tan dipercayai hilang kawalan lalu merempuh lapan kenderaan yang berhenti di hadapannya kerana jalan di kawasan berkenaan sedang diselenggara di Jalan Batu 30, di sini, hari ini.

Kejadian jam 4.20 petang itu mengakibatkan dua lori, bas penumpang, Perodua Myvi, Proton Saga FLX, Toyota Revo, Toyota Hilux dan Ford Ranger masing-masing mengalami pelbagai kerosakan.

Nahas membabitkan sembilan kenderaan di Jalan Batu 30, Sandakan. – Foto Bomba

Kemalangan terbabit turut menyebabkan pemandu lori 1.5 tan cedera namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, sebaik menerima panggilan kecemasan pada 4.31 petang itu, sepasukan bomba dan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan digerakkan ke lokasi kejadian.

Katanya, kemalangan membabitkan lori 10 tan dipercayai merempuh lori 1.5 tan rempuhan itu menyebabkan pelanggaran sesama sendiri kenderaan di bahagian hadapan.

“Kemalangan membabitkan sembilan kenderaan dan terdapat seorang mangsa lelaki pemandu lori 1.5 tan cedera dan dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan jentera.

“Mangsa yang cedera kemudian dihantar menggunakan ambulans untuk rawatan lanjut manakala mangsa lain tidak mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, pasukan bomba kemudian membuat pemeriksaan untuk memastikan tiada keberbahayaan lain di lokasi sebelum operasi ditamatkan pada 5.40 petang. – Info X