Search

Warga asing miliki MyKad palsu dipenjara 24 bulan

March 17, 2023

admin

KOTA KINABALU: Seorang lelaki warga asing dijatuhkan hukuman penjara 24 bulan di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah memiliki MyKad palsu.

Tertuduh, Mohamad Adzlan Said, 42, mengaku bersalah apabila pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Jessica Ombou Kakayun.

Tertuduh (tengah) dipenjara 24 bulan di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu, selepas mengaku salah memiliki MyKad palsu.

Mengikut pertuduhan, Mohamad Adzlan ditahan ketika Operasi Terancang Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Sabah di sekitar Sinsuran, Blok 1, Kota Kinabalu, jam 9.30 pagi, semalam kerana disyaki memiliki MyKad palsu atas nama Mohamad Adzlan Bin Said.

Semakan kedua-dua jari tertuduh dibuat dan didapati kedua-dua cap ibu jari tertuduh tiada di dalam rekod JPN.

Semakan lanjut Bahagian Kad Pengenalan JPN Sabah mendapati nombor MyKad itu tidak wujud di dalam sistem JPN.

Tertuduh didakwa mengikut Peraturan 25(1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran 1990.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 24 bulan dari tarikh tertuduh ditahan dan dirujuk ke Jabatan Imigresen Malaysia selepas menjalani hukuman penjara.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Mohd Naser Mohd Nadzeri manakala tertuduh tidak diwakili peguam. – Info X