Search

Kerangka pembangunan keselamatan Sabah tumpu kawasan sempadan

March 17, 2023

admin

KOTA KINABALU: Satu kerangka pembangunan keselamatan yang menumpukan kawasan persempadanan Sabah sudah dibuat untuk pertimbangan kerajaan.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Idris Abdullah berkata, perkara berkenaan sudah dilaksanakan dan dibincangkan bersama Bahagian Keselamatan Sabah.

Datuk Idris ketika berucap sempena Perasmian Balai Polis Inanam, hari ini.

“Perbincangan itu termasuklah langkah-langkah bagaimana untuk membangunkan persempadanan di kawasan laut dan pulau agar lebih kukuh.

“Usaha itu termasuklah melaksanakan satu tindakan berkesan agar tiada anasir luar yang akan memasuki kawasan sempadan negara,” katanya dalam sidang media di Balai Polis Inanam yang baharu, hari ini.

Pembinaan Balai Polis Inanam baharu ini dimulakan pada 22 Mei 2018 dengan kos berjumlah RM15.4 juta sebelum siap sepenuhnya pada 7 Mei 2021.

Bangunan ini kemudian diserahkan sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sabah pada 14 April tahun lalu selepas memperoleh sijil menduduki pada 8 Februari 2022.

Datuk Idris Abdullah menandatangani plak sempena Perasmian Balai Polis Inanam yang baharu, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, rancangan itu antara lain yang diperlukan dalam pelaksanaan pembangunan keselamatan di negeri Sabah selepas penyaluran bajet sebanyak RM500 juta bagi meningkatkan keselamatan di negeri ini.

“Pembangunan persempadanan yang lebih kuat membabitkan laut dan pulau perlu dibuat, bagaimana, itu sedang dibincangkan apa yang perlu dilaksanakan.

“Perbincangan ini dilakukan bagi mencapai pelaksanaan projek yang mampu mengukuhkan persempadanan darat dari Sipitang ke Sebatik,” katanya. – Info X