KOTA KINABALU: Pembukaan Balai Polis Inanam baharu bukan saja pengiktirafan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) tetapi juga membantu meningkatkan perkhidmatan polis kepada masyarakat.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah berkata, prasarana yang kondusif ini sudah pasti akan memberi motivasi kepada warga PDRM untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan.

Katanya, ia selaras dengan inisiatif polis dalam membendung jenayah termasuk mempertingkatkan ‘Omni Presence’ bagi meningkatkan rasa selamat masyarakat.
“Dengan adanya prasana seperti ini, lebih mudah untuk kita memberi perkhidmatan yang baik kepada masyarakat setempat.
“Ia sememangnya pendekatan polis iaitu menghadirkan diri kepada masyarakat untuk mewujudkan persekitaran yang selamat dan harmoni,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Balai Polis Inanam, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun dan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah.
Mengulas lanjut, Idris berkata, pembinaan Balai Polis Inanam ini bermula pada 22 Mei 2018 dengan kos berjumlah RM15.4 juta sebelum siap sepenuhnya pada 7 Mei 2021.
Katanya, bangunan ini diserahkan sepenuhnya kepada PDRM Sabah pada 14 April tahun lalu selepas memperoleh sijil menduduki pada Februari 2022.
“Balai Polis Inanam kini dilengkapi dengan bangunan dua tingkat pejabat serta lokap, sebuah bangunan perumahan dengan 103 unit berek dan sebuah dewan serbaguna, tadika, surau dan bilik mandi jenazah.
“Dengan persekitaran yang selesa dan kondusif warga PDRM dapat menjalankan tugas seharian dengan lebih dedikasi, efisyen, amanah, adil dan berkesan selain tinggal di dalam berek yang terjamin dari faktor keselamatan tanpa risau ahli keluarga yang ditinggalkan di rumah,” katanya.
Sementara itu, Idris berkata, pembinaan lebih banyak balai polis perlu terutamanya di Sabah yang mempunyai kawasan amat luas.
Katanya, ia bagi menghadapi ancaman jenayah dengan pendekatan keselamatan secara keseluruhannya. – Info X