Search

Kim Swee beri kepercayaan kepada Bozik

March 17, 2023

admin

KOTA KINABALU: Ketua Jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee percaya, penolongnya Rastislav Bozik mampu mengendalikan pasukan apabila mereka menerima kunjungan Penang FC dalam saingan Liga Super, di Stadium Likas, di sini, malam ini.

Katanya, beliau tidak berdepan masalah untuk memberikan arahan kepada anak buahnya melalui Bozik, malah yakin pemain Sabah FC lebih bersemangat selepas insiden di Kuantan sebelum ini yang menyaksikan beliau dilayangkan kad merah.

Beliau berkata, Sabah FC tetap bersemangat meneruskan aksi terbaik mereka untuk mengekalkan kemenangan di gelanggang sendiri meskipun berdepan cabaran komunikasi memandangkan beliau tidak boleh berada di tepi padang untuk memantau pemain dari dekat.

“Kita yakin Rastislav Bozik mampu menjalankan tugas dengan baik tetapi sebelum perlawanan berlangsung, saya akan memberikan arahan seperti yang biasa dilakukan.

“Sepanjang perlawanan nanti juga sudah pasti kita mempunyai beberapa perkara yang ingin disampaikan kepada pemain melalui penolong jurulatih.

“Untuk itu, kita ada cara komunikasi yang efektif untuk memastikan semua pemain dan pegawai mengikut arahan apa yang kebiasaan kita lakukan,” katanya mengulas persiapan Sabah FC untuk pertemuan dengan Penang FC, malam ini.

Kim Swee turut mengingatkan pemain Sabah FC supaya melupakan episod perlawanan menentang Sri Pahang FC di Kuantan, Pahang minggu lalu yang menyaksikan skuad Sang Badak terpaksa berkongsi satu mata apabila seri 1-1.

Beliau mengakui keputusan itu sesuatu yang mengecewakan pasukan dan penyokong Sabah FC, namun ia tidak melemahkan semangat anak buahnya untuk meneruskan aksi bertenaga mereka dalam perlawanan seterusnya.

“Sudah tentu amat mengecewakan apabila kehilangan tiga mata, namun pemain sudah menunjukkan satu prestasi yang cukup baik walaupun kita bermain di tempat lawan.

“Beberapa insiden berlaku tetapi mereka mampu mempertahankan gawang kita daripada dibolosi. Kita hanya mampu membawa balik satu mata dan saya pasti satu mata itu amat berharga di tempat lawan,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai lima pemain Sabah FC yang dipanggil menyertai skuad kebangsaan, Kim Swee menyifatkannya sebagai satu penghargaan kepada anak buahnya untuk mempamerkan kualiti permainan terbaik mereka ketika mewakili negara.

“Saya selalu katakan apabila dapat mewakili negara, itu adalah satu pencapaian yang terbaik dalam karier bola sepak sekali gus mereka perlu menunjukkan prestasi memberangsangkan.

“Saya harap lima pemain ini dapat mengekalkan disiplin dan seterusnya mengikuti pasukan kebangsaan apabila bermain dalam kejohanan yang berprestij nanti.

“Ini sudah tentu akan memberi pengalaman yang cukup baik untuk mereka kembali ke pasukan Sabah FC bagi membantu pasukan agar lebih mencabar dalam saingan liga super pada tahun ini,” katanya.

Lima pemain Sabah FC yang dipanggil Ketua Jurulatih pasukan Kebangsaan, Kim Pan Gon untuk menyertai kem latihan pusat bermula Sabtu ini ialah Damien Lim, Darren Lok, Dominic Tan, Stuart John Wilkin dan Daniel Ting.

Selain itu, pemain import dari Indonesia, Saddil Ramdani turut menerima panggilan untuk menyertai pasukan kebangsaan negaranya. – Info X

Gambar – Sabah FC