Search

Bergelut sebelum ditahan PPM

March 17, 2023

admin

KUDAT: Dua lelaki bergelut dengan anggota polis sebelum ditahan ketika cuba melarikan diri selepas dikesan menjalankan kegiatan menangkap ikan menggunakan bahan letupan di kawasan laut Pulau Moleangin Besar, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 7.30 pagi itu, kedua-dua suspek berusia lingkungan 40 tahun ditahan sepasukan anggota dan pegawai PPM Kudat dalam Op Gelora Khas.

Menurut sumber, PPM Kudat yang menerima maklumat mengenai aktiviti menangkap ikan menggunakan bahan letupan di kawasan laut berkenaan kemudian menjalankan pemeriksaan.

Dua lelaki yang ditahan kerana disyaki menjalankan kegiatan menangkap ikan menggunakan bahan letupan di perairan Kudat. – Foto PPM

“Hasil pemeriksaan melihat sebuah bot laju dan dua lelaki dewasa dalam keadaan mencurigakan.

“Ketika dihampiri, mereka memecut laju ke arah kawasan cetek dan pasukan PPM bertindak mengekori sebelum kedua-dua suspek ditahan,” katanya di sini, hari ini.

Sumber berkata, ketika mengejar suspek berlaku pergelutan antara suspek dengan anggota PPM namun berjaya dikendalikan.

“Hasil pemeriksaan menemui barang seperti fius peletup, botol berisi baja ammonia, alat menyelam dipercayai digunakan untuk kegiatan mengebom ikan.

“Turut dirampas bot dan enjin. Nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM25,700,” katanya.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Ariffin ketika dihubungi mengesahkan rampasan berkenaan.

Katanya, tangkapan dan rampasab dibawa ke pangkalan PPM Kudat untuk tindakan lanjut atas kesalahan mengikut Akta Bahan Letupan 1957. – Info X