KOTA KINABALU: Persembahan lebih bertenaga dan agresif pada separuh masa kedua disifatkan menjadi faktor kemenangan besar 5-2 Sabah FC ke atas Penang FC dalam aksi Liga Super, di Stadium Likas, di sini, malam tadi.
Penolong Ketua Jurulatih Sabah FC, Rastislav Bozik, mengakui corak permainan yang lebih banyak bergerak dengan banyak peluang dicipta membolehkan persembahan pasukannya lebih baik berbanding di babak pertama.
Katanya, walaupun anak buahnya mencipta gol yang baik melalui hantaran tepat dan penalti pada separuh masa pertama, permainan keseluruhan sepanjang babak awal permainan kurang memuaskannya.
“Permainan bermula agak kurang baik pada separuh masa pertama walaupun kita mendapat gol yang baik dan penalti, selain cubaan melalui sepakan sudut.
“Pada separuh masa kedua, pemain lebih banyak bergerak berbanding pada separuh masa pertama sekali gus memberi banyak pilihan dan peluang.
“Sebab itulah permainan pada separuh masa kedua lebih baik. Apabila peluang dan kekuatan dapat diterjemahkan, maka itu mengubah permainan menjadi lebih baik,” katanya pada sidang media selepas perlawanan malam tadi.
Dalam aksi malam tadi, skuad Sang Badak mencipta gol pendahuluan melalui tandukan Park Taesu pada minit ketiga sebelum disamakan penyerang Pulau Pinang, Hassan Saad pada minit kelapan, namun dipintas Sabah pada minit akhir babak pertama melalui gol sepakan penalti Darren Lok.
Berbekalkan kelebihan 2-1, Sabah FC memulakan babak kedua dengan lebih agresif hingga berjaya menambah dua gol menerusi Daniel Ting pada minit ke-54, disusuli satu lagi gol Park Taesu pada minit ke-59.
Kedudukan 4-1 yang memberi kelebihan buat Sabah itu kekal hingga minit ke-91, sebelum Pulau Pinang mencipta gol kedua melalui sepakan penalti Adriano Aparecido Narcizo.
Sabah kemudian berjaya menambah gol kelima melalui satu lagi sepakan penalti yang disempurnakan Rizal Ghazali pada minit ke-102 membolehkan Sabah mengutip tiga mata dengan kemenangan 5-2.
Sementara itu, pengendali Penang FC, Chong Yee Fatt, mengakui percaturan pasukannya tersasar daripada rancangan asal untuk membawa pulang sekurang-kurangnya satu mata.
“Kita memang menjangka perlawanan malam ini sesuatu yang sukar tetapi kita sudah sedia datang sini untuk memberikan persembahan yang baik dan yakin dapat jika bukan mata penuh, sekurang-kurangnya satu mata.
“Namun, ternyata Sabah bermain dengan kekuatan sebenar dan mereka memang layak untuk menang, cuma kita tidak sepatutnya kalah dengan teruk.
“Pada satu masa kita juga dapat bermain dengan baik dan cuba mencapai apa yang kita sasarkan sebelum permainan bermula,” katanya. – Info X