Search

Kerajaan lulus kos tambahan RM3.5 juta projek Mahkamah Syariah di Papar

March 18, 2023

admin

PAPAR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri
(Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, Kerajaan Persekutuan bersetuju meluluskan tambahan kos siling projek sebanyak RM3.5 juta bagi projek Pembangunan Mahkamah Syariah Daerah Papar.

Katanya, menerusi penambahan itu, nilai keseluruhan projek berkenaan terkini adalah RM18.5 juta.

Beliau berkata, pembinaan mahkamah syariah terbabit merupakan projek di bawah Jabatan Perdana Menteri yang sudah diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMKe-11) RP3 2018.

“Bagaimanapun, terdapat sedikit kelewatan sebelum ini termasuklah isu mengenai kesesuaian lokasi walaupun ia sudah diluluskan pada tahun 2018.

“Tapak dikenal pasti adalah kawasan berpaya atau berair. Oleh itu, pelaksaan projek ini terpaksa melibatkan implikasi kewangan tambahan.

“Agensi pelaksana projek ini adalah Jabatan Kerja Raya (JKR) Persekutuan serta JKR Sabah dan projek dijangka siap sepenuhnya pada 25 Ogos 2024.

“Proses perolehan projek turut telah selesai dilaksanakan dan kebenaran masuk tapak bagi melaksanakan kerja tanah sudah diberikan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT),” katanya ketika ditemui media melepas melawat tapak Projek Pembangunan Mahkamah Syariah Daerah Papar, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Armizan menyatakan tinjauan beliau pada hari ini adalah bagi melihat status kemajuan kerja-kerja awal sekali gus mendapatkan maklum balas sekiranya masih terdapat isu-isu berbangkit.

Menurutnya, beliau meminta semua pihak terlibat untuk memastikan projek berkenaan dapat berjalan dengan lancar untuk memastikan ia dapat disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan setelah pelaksanaan awal tertangguh atas isu-isu tertentu khususnya yang melibatkan tapak projek dan keperluan kenaikan kos projek.

“Pembangunan mahkamah syariah yang baharu di Papar merupakan manifestasi keprihatinan erajaan Persekutuan demi manfaat penduduk tempatan dan para penjawat awat yang terlibat.

“Bangunan baharu ini kelak akan membolehkan rakyat memiliki prasarana dan persekitaran perkhidmatan kerajaan yang lebih kondusif sekali gus meningkatkan keberkesanan sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan,” katanya. – Info X