Search

Anifah dilantik Senator Dewan Negara

March 20, 2023

admin

KOTA KINABALU: Bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman mengangkat sumpah sebagai senator di Dewan Negara, di Kuala Lumpur, hari ini.

Presiden Parti Cinta Sabah (PCS) itu merakamkan penghargaan kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di atas sokongan dan kepercayaan dalam pelantikan beliau sebagai senator.

Katanya, beliau bersyukur kerana terus diberikan kepercayaan dan peluang meneruskan khidmat untuk rakyat secara keseluruhan dalam kapasiti sebagai Ahli Dewan Negara berkuatkuasa hari ini.

“Saya komited dengan komitmen untuk menegakkan prinsip demokrasi, tadbir urus yang baik dan kedaulatan undang-undang dan akan bekerja tanpa jemu ke arah kebaikan negara dan kesejahteraan rakyat.

“Pengalaman dan pengetahuan saya sebagai bekas Menteri Luar dan juga mantan ahli Parlimen akan saya gunakan di Dewan Negara dengan menyumbang kepada perbincangan dan perbahasan bermakna dalam membentuk masa depan negara dan mengukuhkan kedudukannya di persada global,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Bekas ahli parlimen Kimanis itu juga baru-baru ini telah dilantik oleh Hajiji sebagai Penasihat Khas Perhubungan Antarabangsa dan Pelaburan Asing Sabah.

Untuk rekod, pada pilihan raya umum lepas, PCS mahupun Anifah tidak bertanding sebaliknya beliau hadir memberikan sokongan kepada pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang bertanding.

Anifah sebelum ini juga merupakan ahli Umno namun keluar daripada parti itu selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018. – Info X