KOTA KINABALU: Seramai 14 pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu menerima sijil penghargaan atas kejayaan tangkapan kes curi kenderaan di sebuah bilik pameran (showroom), pada 15 Mac lalu.
Sijil penghargaan itu daripada Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah yang disampaikan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah sempena Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-216 di Dataran Kinabalu, IPD Kota Kinabalu, hari ini.

Pada majlis sama, seramai 10 orang awam dan pengamal media turut menerima sijil penghargaan.
Terdahulu, acara dimulakan dengan gimik membawa Perutusan Peringatan Hari Polis Ke-216.
Ucapan Perutusan Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl sani Abdullah Sani dibaca oleh Mohd Zaidi.
Seterusnya acara diteruskan dengan babak lakonan menumpaskan penjenayah yang dijayakan oleh barisan pegawai kanan, anggota IPD Kota Kinabalu di bawah arahan Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Kalsom Idris.

Pada 8 Mac lalu, berlaku jenayah pecah masuk sebuah bilik pameran (showroom) kenderaan di Jalan Lintas, Kepayan, di sini dan melarikan dua pacuan empat roda Nissan Navara.
Dua lelaki yang dikehendaki polis dalang dalam kejadian itu turut melakukan pecah rumah di Semenanjung.
Hasil siasatan dan risikan berterusan pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, berjaya menumpaskan kumpulan berkenaan dan merampas semua barang curi, pada 15 Mac lalu. – Info X