Search

Warisan tidak akan tanding PRN sendirian – Shafie

March 20, 2023

admin

PUTATAN: Presiden Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal berkata, parti itu tidak akan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang secara bersendirian.

Katanya, Warisan kini sedang menilai parti yang sesuai untuk mereka bekerjasama dengan Umno Sabah antara yang disebut beliau.

Beliau berkata, Warisan sedang membuat penilaian teliti bagi memastikan rakan parti yang bakal dipilih mampu membawa perjuangan sama antaranya untuk rakyat Sabah dan kerjasama itu mampu bertahan untuk suatu tempoh yang panjang.

“Memang ada kenal pasti beberapa parti antaranya Umno di peringkat negeri Sabah tetapi kita belum putuskan apa-apa lagi (untuk kerjasama) pada masa ini, banyak juga… parti tempatan (untuk kerjasama) kita umum bila tiba masanya.

“Dengan Pakatan Harapan (PH) kita sudah ada (kerjasama) di peringkat nasional bersama dalam kerajaan perpaduan, sebenarnya saya antara terawal sokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Pemimpin Warisan Bersama Rakyat, di sini, malam tadi.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu, Warisan yang bertanding bersendirian hanya memenangi tiga daripada keseluruhan 52 kerusi Parlimen yang ditandinginya di seluruh negara.

PRN Sabah ke-16 pada 2020 menyaksikan Warisan yang ketika itu bekerjasama dengan PH membentuk Warisan Plus memenangi 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah daripada keseluruhan 73 kerusi DUN, manakala penggal pentadbiran kerajaan negeri ketika ini akan tamat pada 2025.

Sementara itu, Ahli Parlimen Semporna itu berkata, apa yang penting sekarang adalah untuk Warisan mengukuhkan parti terlebih dahulu sebelum mengorak langkah seterusnya untuk menjalin kerjasama dengan parti lain.

Beliau berkata Warisan juga akan mempersiapkan parti untuk menghadapi PRN Sabah biarpun pilihan raya itu diadakan tahun ini atau tahun depan.

Dalam pada itu ketika ditanya berhubung pembahagian kerusi pada PRN Sabah nanti, Shafie berkata sudah tentu Warisan tidak akan bertanding di semua 73 kerusi DUN, namun Warisan tidak menolak kemungkinan untuk mempertahankan kerusi DUN yang dimenangi pada PRN Sabah yang lepas. – Info X