LABUAN: Ketua Umno Bahagian Labuan yang baharu, Datuk Mohd Rafi Ali Hassan bertekad untuk mengembalikan semula maruah parti itu yang tercalar selepas mengalami kekalahan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.
Beliau berkata, Umno Labuan perlu bangkit semula untuk mengembalikan maruah parti itu sebagai sebuah parti yang memperjuangkan nasib hak rakyat, agama dan bangsa.
“Apa yang saya harapkan barisan kepimpinan Umno termasuk kepimpinan diperingkat akar umbi dapat menanam iltizam yang tinggi untuk sama-sama mengembalikan Umno ke naluri rakyat khususnya di Labuan.
“Umno Labuan perlu bangkit semula untuk mengembalikan maruah parti yang sedikit tercalar selepas kita kalah dalam PRU lalu termasuk calon kita di Labuan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa Umno Bahagian Labuan sesi 2023-2026 di Dewan Konvensyen Ujana Kewangan, di sini, pada Sabtu.

Turut hadir, Timbalan Ketua Umno Bahagian, Datuk Bashir Alias dan Naib Ketua Umno Bahagian Labuan, Datuk Khalid Ab Ghani serta barisan kepimpinan Umno Labuan yang lain.
Terdahulu, Mohd Rafi yang menang tanpa bertanding pada pemilihan parti turut menuntut barisan kepimpinan Umno yang baharu dipilih supaya mempunyai iltizam tinggi untuk mendekati dan mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap parti berkenaan. – Info X