Search

Suami maut, isteri cedera pacuan empat roda bertembung treler

March 20, 2023

admin

KUNAK: Seorang lelaki maut selepas kenderaan yang dinaiki bersama isterinya bertembung dengan sebuah treler di Batu 60, Jalan Kunak – Tawau, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 11.40 pagi itu, Amir Sarail berusia lingkungan 50 tahun yang tersepit di tempat duduk pemandu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Isteri mangsa, Astriewati Hassan, 55, yang cedera dihantar ke Hospital Kunak untuk rawatan lanjut.

Kenderaan Isuzu DMax dinaiki mangsa remuk teruk selepas bertembung dengan treler di Batu 60, Jalan Kunak – Tawau. – Foto Bomba

Difahamkan, ketika kejadian mangsa bersama isterinya yang menaiki kenderaan pacuan empat roda jenis Isuzu D-Max dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Kunak selepas dari Tawau.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya terima panggilan berhubung kejadian kemalangan itu jam 11.54 pagi.

Katanya, seramai enam anggota termasuk pegawai bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kunak digerakkan ke tempat kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian mangsa lelaki tersepit di bahagian pemandu dan berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba namun disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan di lokasi kemalangan.

“Manakala seorang mangsa wanita (isteri mangsa) yang cedera dihantar ke Hospital Kunak untuk rawatan sebelum jentera bomba tiba,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, pemandu treler tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Operasi ditamatkan pada 12.27 tengah hari,” katanya.