SANDAKAN: Seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah, di sini, hari ini atas tuduhan menerima rasuah RM3,500 pada 21 Jun 2021.
Mohd Razif Hashim, 30, yang berpangkat Lans Koperal membuat pengakuan tidak bersalah di hadapan Hakim Jason Juga selepas pertuduhan dibaca terhadapnya.
Mengikut pertuduhan, dia disyaki secara rasuah menerima suapan wang tunai sebanyak RM3,500.00 daripada pengadu sebagai dorongan untuk memulangkan semula barangan milik pengadu iaitu sebuah motosikal, dua pasport dan buku-buku hutang milik pengadu yang telah dirampas oleh tertuduh dalam satu kejadian langgar pada 27 Jun 2021.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) Malaysia 2009.
Mahkamah juga membenarkan tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak RM10,000 dengan deposit RM2,000 sementara menunggu perbicaraan.
Tertuduh juga diarahkan mahkamah supaya tidak mengganggu saksi pendakwaan serta dikehendaki melapor diri di pejabat SPRM Cawangan Sandakan setiap dua bulan sekali dan menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah untuk simpanan.
Mahkamah menetapkan 18 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes berkenaan. – Info X